Kerusi ditoreh, dinding dicalar: Tak sampai 150 jam beroperasi, stesen MRT diancam vandalisme

Hilal Azmi
Julai 23, 2017 18:25 MYT
BIlakah agaknya disiplin dan kesedaran menjaga harta benda awam menjadi amalan dan 'darah daging' rakyat Malaysia? - Foto: Pengurusan MRT
Kemudahan Transit Aliran Massa (MRT) aliran Sungai Buloh - Kajang yang baru dilancarkan beberapa hari lalu diancam perlakuan vandalisme oleh 'tangan nakal' di ibu kota.
Berdasarkan tinjauan Astro AWANI pada Ahad, beberapa stesen seperti Stesen MRT Merdeka dan Stesen MRT Bukit Bintang antara yang menjadi mangsa perlakuan keji ini.
Puntung rokok dibuang merata-rata terutama di kawasan luar stesen.
Tidak kurang dengan itu, ada juga pihak yang tidak bertanggungjawab mencalarkan serta merosakkan tempat duduk di kawasan platform.
Astro AWANI turut diberitahu, ada antara tempat duduk terpaksa dikeluarkan sementara bagi kerja membaiki akibat ditoreh pengguna.
Bagi penyelenggara di Stesen MRT Bukit Bintang, Md Rasal, dia sendiri pernah melihat perbuatan membuang sampah di kawasan sekitar stesen tetapi tidak mampu berbuat apa-apa.
"Saya pernah nampak beberapa orang membuang sampah, kayu dan bermacam-macam lagi.
"Saya tak boleh tegur mereka, kerana mereka orang Malaysia, saya orang luar. Apa yang boleh saya buat hanyalah mengambil gambar dan laporkan kepada pihak pengurusan," katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Berbeza di Stesen MRT Merdeka, binaan dinding yang unik membawa mesej Rukunegara turut 'diancam' apabila ada kanak-kanak yang cuba memanjat dinding itu seperti aktiviti 'wall climbing'.
Pengurus Stesen MRT Merdeka, Chia Seng Kah memberitahu, sejak ia mula dibuka, ramai ibu bapa yang membawa anak-anak untuk melihat keunikan stesen ini.
"Panel dinding ini amat mahal, kita harap ibu bapa boleh kawal anak mereka untuk tidak memijak atau cuba memanjat dinding itu.
"Selain ia merosakkan mesej Rukunegara, ditakuti jika jatuh, mampu membawa kepada kecederaan," katanya.
Bagi Muhammad Amir Jamal pula, beliau yang membuat penyelenggaraan di stesen berkenaan turut kecewa dengan tindakan memanjat serta menoreh tempat duduk di stesen berkenaan.
"Stesen ini unik dan cantik, malah antara pengguna yang ramai menggunakan stesen ini ialah orang muda daripada kalangan pelajar sekolah dan universiti.
"Jadi, dinding dengan mesej Rukunegara ini sewajarnya dihormati kerana ia ikrar kita sebagai Rakyat Malaysia.
"Takkanlah kita nak calarkan Rukunegara ?" katanya sinis ketika mengiringi tinjauan yang dibuat Astro Awani.
Bagi Pengarah Strategik Komunikasi dan Pihak Berkepentingan MRT Corp, Datuk Najmuddin Abdullah, perkara ini amat menyedihkan malah situasi ini menunjukkan seolah rakyat Malaysia belum bersedia untuk menerima pengangkutan awam yang canggih dan bertaraf dunia.
"Kemudahan MRT ni amat canggih, begitu juga kemudahan di stesen.
"Bagi saya, kita semua perlu ambil tindakan yang sama canggih dengan kemudahan awam yang ada.
"Sebab kalau kita tak canggih seiring dengan perkhidmatan awam yang disediakan, di situlah timbulnya perkara-perkara yang tidak baik," katanya dalam nada kecewa.
Beliau turut memberitahu, sekiranya individu atau kumpulan ditangkap melakukan kerosakan kepada kemudahan awam terutamanya di stesen MRT, mereka boleh didakwa di bawah Akta Kerajaan Tempatan (9 Undang-Undang Kecil Vandalisme 1991), yang boleh membawa kepada denda RM 2,000 atau penjara tidak lebih daripada setahun jika disabitkan kesalahan.
Tidak kurang dengan itu, mereka juga boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2010.
#Astro #Astro Awani #Bukit Bintang #Kajang #Merdeka #MRT #MRT Corp #Najmuddin Abdullah
;