Kerugian lebih RM100,000 kes scammer baju raya

Sinar Harian
April 12, 2023 12:20 MYT
Baru-baru ini Kementerian Komunikasi dan Digital berkongsikan taktik penipuan pembelian baju raya antaranya scammer akan membuat akaun palsu di media sosial sebelum menawarkan dengan harga promo serta murah. - Gambar hiasan/ Bernama
KUALA LUMPUR: Kes penipuan beli baju raya merekodkan kerugian mencecah RM121,448 bagi tempoh sembilan tahun sejak 2014 hingga tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, dalam tempoh itu, sebanyak 29 kes dilaporkan.
"Pada tahun ini sahaja setakat Mac, ada lima laporan diterima dengan kerugian bernilai RM13,500.
"Dalam isu ini, tidak dinafikan scammer mengambil peluang untuk menipu terutama sekali melibatkan pembelian secara dalam talian," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata, apa pun tawaran, peluang pekerjaan, program kerajaan atau bukan kerajaan yang berunsurkan penglibatan rakyat, scammer akan sentiasa mengambil peluang untuk memperdaya mangsa.
Menurutnya, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada ketika membuat pembelian secara dalam talian dan diminta untuk membuat semakan kepada pihak berkuasa jika mempunyai keraguan.
"Segera hubungi bank atau National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 jika menyedari telah menjadi mangsa penipuan dalam talian.
"Orang ramai juga boleh membuat semakan akaun bank dan nombor telefon yang terlibat dengan jenayah penipuan di https://semakmule.rmp.gov.my. Layari akaun media sosial rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM dan Cyber Crime Alert RMP untuk maklumat terkini jenayah komersial," ujarnya.
Baru-baru ini Kementerian Komunikasi dan Digital berkongsikan taktik penipuan pembelian baju raya antaranya scammer akan membuat akaun palsu di media sosial sebelum menawarkan dengan harga promo serta murah.
Mangsa yang tertarik kemudian akan membuat transaksi ke akaun individu.
Mangsa yang tidak menerima parcel dibeli kemudian menghubungi pihak terbabit sebelum dimaklumkan ada sekatan penghantaran.
Scammer terbabit kemudian meminta mangsa membuat bayaran tambahan dan menjanjikan pulangan wang selepas parcel diterima.
Pada November 2021, media tempatan melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memperkasakan Kempen Pencegahan Jenayah Komersial Dalam Talian dengan menjadikannya sebagai acara tahunan dalam usaha membentuk kesedaran awam tentang modus operandi sindiket penipuan dalam talian. - Sinar Harian
#penipuan baju raya #PDRM #Aidilfitri #scam
;