Kerugian akibat banjir di Johor cecah RM63.1 juta

Siti Nur Aqilla Omar
Januari 31, 2021 19:03 MYT
Pemandangan udara menunjukkan sebahagian kawasan bandar Kota Tinggi yang dilanda banjir pada awal Januari lalu. - Gambar fail/ Bernama
JOHOR BAHRU: Nilai kerugian keseluruhan akibat banjir buruk yang melanda hampir semua daerah di negeri ini termasuk Kota Tinggi pada awal bulan lalu, dianggarkan mencecah RM63.1 juta.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata nilai kerugian itu meliputi harta benda dan kemudahan awam.
Katanya, kerajaan negeri amat prihatin dengan trauma dihadapi mangsa terlibat dan sudah membuat analisis mengenai kerosakan dan keperluan mereka yang terjejas.
"Hanya satu daerah tidak terlibat banjir, jadi kita boleh bayangkan kerosakan dan trauma yang dialami.
"Berdasarkan kepada tinjauan awal, penilaian kerosakan adalah RM63.1 juta. Antara kerosakan akibat bencana itu adalah jalan raya, jambatan, sekolah, rumah serta pelbagai kemudahan awam.
"Nilai RM63.1 juta ini juga adalah anggaran kerosakan yang telah diajukan (dilaporkan) kepada pihak kerajaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita menerusi sidang media secara maya, di sini hari ini.
Dalam kejadian banjir itu, lebih 7,000 mangsa dipindahkan dengan sebanyak 72 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di lapan daerah selain meragut tiga nyawa di Kluang.
Banjir yang melanda Johor sejak awal tahun itu pulih sepenuhnya pada 17 Januari lalu.
Antara daerah terjejas teruk adalah Kota Tinggi, Johor Bahru serta Kluang.
#banjir johor #Kota Tinggi #kerugian #juta #RM63 1 juta #Menteri Besar #Hasni Mohammad #anggaran #penilaian #harta benda #jalan raya #kemudahan awam #rumah
;