Kertas undi Pilpres 2019 ditemui di Kajang: Tunggu kenyataan KPN - Sumber
Rizal Zulkapli
April 11, 2019 22:00 MYT
April 11, 2019 22:00 MYT
Kemaskini untuk memperincikan lokasi, memetik laporan Detik.com dan kenyataan Bawaslu.
Kekecohan timbul pada Khamis susulan satu video yang tular di media sosial menunjukkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerbu sebuah lot kedai di Kajang yang menempatkan kertas undi Pemilihan Umum Presiden Indonesia (Pilpres) 2019 yang ditebuk.
Laporan Detik.com memetik surat berkenaan ditemui di Taman Universiti, Sungai Tangkas, Bangi.
Tambah laporan yang sama, kertas undi berkenaan dimuatkan dalam 20 beg diplomatik, 10 beg plastik hitam dan 5 karung guni berwarna putih dengan tulisan Pos Malaysia.
Menurut sumber polis yang dihubungi, hasil siasatan polis tidak akan didedahkan sehingga siasatan selesai dijalankan.
Tambahnya, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dijangka akan mengeluarkan kenyataan berkenaan insiden tersebut dalam masa terdekat.
Sementara itu, Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu), melaporkan, wakil daripada Komisi Pemilihan Umum (KPU), badan yang menyelenggara pilihan raya di republik itu akan hadir ke Malaysia awal pagi esok untuk menyiasat.
“(Bawaslu dan KPU) akan menyelidiki (dugaan surat suara tercoblos) ini dan akan kami investigasi. Besok (Jumaat, 12/9/2019), Bawaslu akan berangkat ke Malaysia,” menurut Bawaslu susulan sidang media di Media Centre Bawaslu, Jakarta.
Laporan awal menyebut, kertas undi yang ditemui mempunyai kesan ditebuk, cara undi ditandakan, untuk nama calon kem nombor 1, Joko Widodo dan Ma'ruf Amin dan calon legislatif dari Partai Nasdem.
Astro AWANI turut menghubungi Ketua Panitia Pemungutan Luar Negeri Kuala Lumpur, Agung Cahaya Sumirat, namun tiada sebarang kenyataan dikeluarkan sehingga kini.
Laporan media Indonesia juga berkata Badan Pengawas Pemilu ingin undian di Malaysia yang dijadual pada 14 April dihentikan sementara.
Sebelum ini, ia dilaporkan ratusan karung beg mengandungi kertas undi Pilpres 2019 ditemui di dua tempat sekitar Kajang.