Kertas SPM didakwa bocor: KPM ada SOP pengurusan peperiksaan

Bernama
Januari 13, 2025 17:12 MYT
Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan (dua, kiri) menyerahkan peranti kepada Pejabat Pendidikan Daerah Segamat Abdul Rahman Kechik (dua, kanan) pada Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Negeri Johor 2025. - Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan (KPM) memiliki prosedur operasi standard (SOP) pengurusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terbaik sekali gus menafikan dakwaan kebocoran kertas peperiksaan subjek Sejarah, baru-baru ini.
Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata pihaknya komited memastikan SOP berkenaan dipatuhi semua pihak terlibat sepanjang peperiksaan berlangsung.
"Daripada siasatan yang dilakukan KPM, tidak berlaku kebocoran bagi kertas peperiksaan SPM 2024 bagi subjek Sejarah. Bila disebut kebocoran, maksudnya ialah keseluruhan naskhah peperiksaan itu bocor.
"SOP sedia ada yang dikuatkuasakan ketika ini berada pada tahap terbaik dan kita akan pastikan ia terus dipatuhi," katanya pada sidang media sempena Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2025 Peringkat Johor di Dewan Seminar Jabatan Pendidikan Negeri Johor di sini hari ini.
Pada Khamis lepas, KPM menerusi satu kenyataan menafikan dakwaan berlaku kebocoran kertas peperiksaan SPM 2024 bagi subjek Sejarah susulan tangkap layar yang ditularkan hanya mengandungi senarai tajuk ramalan dalam buku teks subjek berkenaan.
Berhubung banjir di Johor, Azman berkata seramai tujuh mangsa banjir dalam kalangan calon SPM menduduki peperiksaan subjek Matematik Tambahan hari ini.
"Pejabat Pendidikan Daerah telah melaksanakan program intervensi bagi memastikan kesemua calon dapat hadir ke sekolah," katanya sambil menambah setakat ini tiada Pusat Peperiksaan Alternatif (PPA) diaktifkan.
Setakat 11 pagi ini, Johor merekodkan seramai 3,776 mangsa banjir yang ditempatkan di 37 PPS yang dibuka di sekitar Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai, Pontian dan Kluang.
-- BERNAMA
#kertas SPM bocor #SOP #Kementerian Pendidikan #Azman Adnan
;