Kertas siasatan terhadap Tun M sudah lengkap - PDRM
Faida Rahim
Jun 3, 2023 20:33 MYT
Jun 3, 2023 20:33 MYT
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melengkapkan kertas siasatan terhadap kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad berkenaan penghinaan terhadap Institusi Diraja dan Proklamasi Orang Melayu.
Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam satu kenyataan memaklumkan, kertas siasatan itu akan dirujuk kepada pejabat Peguam Negara pada 6 Jun ini.
Tambah beliau, keputusan itu selari peruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu kata Noorsiah, isu Proklamasi Orang Melayu masih di peringkat siasatan bagi rakaman percakapan Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Dr. P Ramasamy.
Noorsiah sebelum ini memaklumkan, keterangan Dr Mahathir diambil Unit Siasatan Jenayah Terkelas, D5 Bukit Aman di Yayasan Albukhary pada pagi Jumaat.
Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.