Kertas siasatan SPRM terhadap Hakim Nazlan selesai - Azam Baki
Dewi Nur Harasha Alias
September 29, 2022 22:39 MYT
September 29, 2022 22:39 MYT
GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menunggu arahan Pejabat Peguam Negara (SPRM) untuk tindakan selanjutnya berhubung siasatan melibatkan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini, kertas siasatan kes berkenaan sudah selesai dan hanya menunggu arahan selanjutnya.
"Setakat ini, kami telah selesaikan siasatan, kertas siasatan berkenaan berada dengan SPRM.
"Tetapi kami belum dapat mengumumkan apa-apa arahan lanjut yang kita terima dari Pejabat Peguam Negara.
"Buat masa ini saya reserve my comment (enggan mengulas lanjut) dalam siasatan ini," katanya.
Sebelum ini Azam berkata, kertas siasatan itu pernah dihantar kepada Pejabat Peguam Negara sebelum dipulangkan semula kepada SPRM untuk siasatan lanjut.
SPRM sebelum ini dilapor membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan, susulan laporan polis menafikan tuduhan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai dakwaan terdapat sejumlah wang yang tidak dapat ditentukan punca di dalam akaun banknya.
Mohd Nazlan yang mengetuai perbicaraan kes SRC International membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan, Najib berhujah yang mana Mohd. Nazlan mempunyai konflik kepentingan yang serius ketika menghakimi perbicaraan itu.