Kertas siasatan pensyarah didakwa hina Nabi dirujuk ke AGC Selasa ini - KPN

Bernama
November 30, 2024 18:30 MYT
Razarudi berkata pensyarah itu telah menjawab 23 soalan ketika sesi rakaman keterangan oleh USJT Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, pada 25 Nov. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berhubung kes seorang pensyarah yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW ketika berceramah baru-baru ini, akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Selasa ini (3 Dis).

Ringkasan AI
  • Rujukan kepada AGC: Kertas siasatan mengenai kes pensyarah yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 3 Disember.
  • Laporan dan Siasatan: Polis telah menerima sembilan laporan mengenai kes tersebut dan lima individu telah dipanggil untuk memberi keterangan.
  • Seksyen Undang-Undang: Kes ini disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain yang mengesahkan perkara itu juga berkata polis menerima sembilan laporan berhubung kes tersebut, setakat ini.
"Lima individu telah dipanggil bagi dirakam keterangan untuk membantu siasatan. Kertas siasatan sedang dilengkapkan untuk dirujuk kepada AGC Selasa ini," katanya semasa dihubungi hari ini.
Pensyarah itu, yang ditemani peguamnya juga telah menjawab 23 soalan ketika sesi rakaman keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, pada 25 Nov.
Pada 21 Nov, polis membuka kertas siasatan berhubung hantaran di laman Facebook yang mendakwa pensyarah itu menghina Nabi Muhammad SAW semasa berceramah dalam satu konvensyen.
Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan yang boleh menyebabkan ketidakharmonian atas alasan agama dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.
-- BERNAMA
#pesyarah hina nabi #Ketua Polis Negara #Razarudin Husain #Jabatan Peguam Negara
;