Kertas siasatan laporan berita pertukaran kepimpinan PDRM sedang dilengkapkan

Bernama
Ogos 21, 2024 21:29 MYT
Rusdi berkata empat individu termasuk tiga wartawan portal itu telah dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung kes berkenaan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berhubung laporan berita oleh sebuah portal mengenai pertukaran kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang dilengkapkan dan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara minggu ini, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa.
Beliau berkata empat individu termasuk tiga wartawan portal itu telah dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung kes berkenaan.
Tiga wartawan itu dilaporkan memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 9 Ogos lepas bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sementara itu, Rusdi berkata beliau masih belum menerima writ saman berhubung tindakan bekas Ketua Staf Perisikan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Datuk Mat Zaki Md Zain dan tiga lagi yang memfailkan saman RM100 juta terhadap PDRM dan 10 yang lain pada 15 Ogos lepas.
"Saya tak terima lagi writ saman dan kalau dapat nanti, kita jawab mengikut tempoh yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Saman dan tuntutan ganti rugi itu berhubung pendakwaan dan tangkapan salah dalam kes bunuh pemandu e-hailing, tahun lepas.
Terdahulu, Rusdi menyampaikan PJPN kepada 61 penerima bagi menghargai jasa kepahlawanan, pengorbanan dan kebaktian mereka kepada negara semasa Era Darurat Dalam Perkhidmatan Persekutuan Tanah Melayu pada 12 Julai 1948 hingga 31 Julai 1960 dan Era Insurgensi Komunis pada 17 Jun 1968 hingga 2 Dis 1989.
Ia juga disampaikan kepada mereka yang berkhidmat pada 1962 hingga 17 Okt 1990 di Sabah dan Sarawak yang dikenali sebagai Perkhidmatan Semasa Darurat.
-- BERNAMA
#PDRM #ESSCom #siasatan kes #Jabatan Peguam Negara