Kertas siasatan Khairuddin akan diserah pada Peguam Negara dalam masa terdekat
Hilmi Malik
September 2, 2020 19:59 MYT
September 2, 2020 19:59 MYT
Polis akan menyerahkan kertas siasatan melibatkan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkaitan kes ingkar kuarantin wajib pada bulan lalu ke pejabat Peguam Negara.
Timbalan Pengarah Siasatan dan Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, DCP Mior Faridalathrash Wahid berkata, ketika ini, siasatan masih lagi sedang berjalan dan dijangka selesai dalam tempoh terdekat.
“Setakat ini siasatan masih dalam siasatan dan kita akan hantar ke pejabat Peguam Negara dalam tempoh terdekat ini,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.
Berhubung perkara itu, beliau berkata, kerjasama yang diberikan oleh pihak Khairuddin kepada pihaknya berjalan dengan baik.
Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, sebelum ini mengaku melanggar perintah wajib dan meminta maaf telah dikompaun RM1,000 mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
Polis sebelum ini sudah membuka kertas siasatan terhadap beliau susulan 27 laporan polis yang diterima di seluruh negara berhubung perkara itu.