Kertas siasatan kes pembunuhan Nur Farah Kartini siap sebelum Jumaat

Bernama
Julai 24, 2024 03:40 MYT
Datuk Hussein Omar Khan berkata usaha pencarian bahan bukti di lokasi kejadian dan beberapa lokasi lain yang berkaitan juga telah selesai.
KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berhubung kes pembunuhan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nur Farah Kartini Abdullah kini hampir siap dan dijangka diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPP) sebelum Jumaat ini.

Ringkasan AI
  • Kertas siasatan kes pembunuhan bekas penuntut UPSI, Nur Farah Kartini Abdullah, hampir siap dan dijangka diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya sebelum Jumaat ini.
  • Pihak polis telah selesai pencarian bahan bukti di lokasi kejadian termasuk menemukan telefon pintar, beg tangan, kunci kereta, dan dompet milik mangsa.
  • Seorang anggota polis berusia 26 tahun dari Perak kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata usaha pencarian bahan bukti di lokasi kejadian dan beberapa lokasi lain yang berkaitan juga telah selesai.
"Pihak polis telah selesai pencarian tempat kejadian dan kertas siasatan dijangka diserahkan kepada TPP sebelum Jumaat ini," katanya ringkas ketika dihubungi Bernama.
Pada 17 Julai lepas Unit Siasatan Forensik Sub Akuatik Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menemukan sebuah telefon pintar milik Nur Farah Kartini ketika melakukan operasi mencari bahan bukti di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang.
Hasil soal siasat dilakukan pasukan sama selepas itu ke Sungai Trolak Kampung Batu 4, di Slim River, Perak dan berjaya menemukan beg tangan dipercayai milik mangsa.
Operasi pencarian bahan bukti lain di sungai itu bagaimanapun tertangguh beberapa hari berikutan keadaan paras air sungai yang tinggi selain arus deras.
Bagaimanapun pada Isnin lepas, pasukan sama berjaya menjumpai kunci kereta dan dompet dipercayai bukti penting yang boleh membantu dalam kes pembunuhan wanita berusia 25 tahun dari Miri, Sarawak itu.
Nur Farah Kartini, dilaporkan hilang pada 10 Julai lepas sebelum mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Hulu Selangor kira-kira 6 petang pada 15 Julai dan jenazah allahyarham selamat dikebumikan di Pekan Pahang, pada 18 Julai.
Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Perak kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
#Hussein Omar Khan #Nur Farah Kartini #kes pembunuhan #kertas siasatan