Kertas siasatan kes mayat wanita dalam gaung diserahkan kepada TPR

Bernama
April 12, 2022 10:30 MYT
Anggota polis melakukan pencarian bagi mengesan bukti kes mayat wanita dalam gaung pada 20 Mac di Km14, Jalan Lama Bukit Putus Seremban-Kuala Pilah, di kawasan belukar di Taman Bukit Zamrud, Seremban, 7 Apr 2022. --Gambar fail/BERNAMA
SEREMBAN: Kertas siasatan berhubung kes penemuan mayat wanita di dalam gaung di Kilometer 14 Jalan Lama Bukit Putus, Paroi di sini telah diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan selanjutnya, kata Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof.
"Kertas siasatan dah selesai, hanya tunggu arahan (TPR), kita dah hantar baru-baru ini," katanya yang dihubungi Bernama hari ini.
Pada 20 Mac lepas, mayat wanita dipercayai warga tempatan berkenaan ditemukan dalam keadaan tertiarap oleh seorang lelaki ketika berjoging dan mengambil gambar di kawasan tersebut.
Susulan kejadian itu, dua lelaki masing-masing berusia 41 dan 44 tahun serta seorang wanita berusia 18 tahun yang mempunyai talian persaudaraan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Nanda berkata reman ke atas lelaki berusia 41 tahun dan wanita itu dilanjut hingga 16 April ini manakala seorang lagi lelaki hingga esok selepas tempoh reman ketiga-tiga mereka berakhir semalam.
Beliau berkata mereka juga direman susulan penemuan satu rangka dipercayai milik seorang kanak-kanak perempuan di kawasan belukar berhampiran tangki air di Taman Bukit Zamrud, di sini pada 7 April lepas yang dipercayai turut mempunyai kaitan dengan mereka.
-- BERNAMA
#kertas siasatan #mayat wanita dalam gaung #Nanda Maarof #Timbalan Pendakwa Raya
;