Kertas siasatan kes bungkus barangan guna kertas bercetak ayat al-Quran siap
Sinar Harian
Jun 19, 2024 16:05 MYT
Jun 19, 2024 16:05 MYT
GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang telah melengkapkan siasatan berhubung beberapa barangan yang dihantar menggunakan perkhidmatan kurier yang dibungkus menggunakan kertas bercetak ayat al-Quran.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, polis menerima laporan berhubung perkara itu pada minggu lalu.
Menurutnya, kertas siasatan berhubung kes itu telah siap dan dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk diteliti.
"Polis cadangkan pelaku dituduh di mahkamah, bagaimanapun ia bergantung kepada TPR sama ada ia boleh dituduh akan sebaliknya," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Ditanya sama ada syarikat tersebut akan didakwa, Hamzah berkata, kes tersebut menjurus kepada perlakuan oleh individu.
"Kita cadangkan individu (untuk dituduh di mahkamah)," katanya lagi.
Sebelum ini beberapa keping gambar tular di media sosial memaparkan bungkusan yang didakwa di pos oleh sebuah syarikat percetakan di Jalan Tun Razak, Cheras ke Ayer Itam di sini.
Difahamkan, laporan polis telah dibuat oleh pemandu syarikat kurier berkenaan yang menyedari perkara itu di Bayan Lepas pada Rabu lalu. -Sinar Harian