Kertas siasatan kemalangan SUV diserah kepada Timbalan Pendakwaraya
Dewi Nur Harasha Alias
Januari 28, 2019 18:43 MYT
Januari 28, 2019 18:43 MYT
Kertas siasatan berhubung kejadian kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan SUV Mazda CX-5 dan Toyota Vios di KM 4.0 Jambatan Pulau Pinang Ahad lepas yang turut mengorbankan pemandu SUV, sudah dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya hari ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk T. Narenasagaran berkata pihaknya bagaimanapun masih menunggu arahan selanjutnya daripada pejabat Timbalan Pendakwaraya untuk mendakwa pemandu Toyota Vios berkenaan.
Setakat ini, semua siasatan sudah lengkap namun pihak polis masih menunggu laporan kimia kandungan dadah dan alkohol pemandu Toyota Vios.
"Siasatan polis sudah lengkap, jadi kita hanya menunggu keputusan ujian darah dan alkohol.
"Kita akan buat cadangan pertuduhan yang sesuai berdasarkan itu," kata Narenasagaran.
Narenasagaran juga memaklumkan polis turut mengambil darah pemandu Vios itu dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk ujian kandungan dadah serta alkohol sekiranya ada.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Minum Petang Bersama Agensi-agensi Yang Terlibat Dalam Operasi Mencari dan Menyelamat kereta terhumban ke laut di Pangkalan Polis Marin Batu Uban di George Town pada Isnin.
Dalam kejadian 2.54 pagi Ahad minggu lepas, SUV dipandu Yun Peng, 20, seorang penuntut kolej swasta, terhumban ke laut selepas keretanya terlibat dalam kemalangan kereta jenis Toyota Vios dalam kemalangan di Kilometer 4, Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai.
Usaha untuk mengeluarkan kenderaan dan mayat Yun Peng dari dasar laut mengambil masa lebih 24 jam sebelum berjaya dikeluarkan pada Selasa petang.
Mayat mangsa yang masih berada di tempat duduk pemandu kenderaan dengan tali pinggang keledarnya masih terpasang ditemukan dalam SUV yang remuk itu semasa ditarik keluar dari laut pada jam 6.07 petang.