Kertas siasatan dakwaan potong barisan suntikan COVID-19 selesai - Ketua Polis Kelantan

Muhafandi Muhamad
Mac 25, 2021 12:25 MYT
Shafien berkata, siasatan hampir selesai dan terserah kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut. - Astro AWANI
KOTA BHARU: Kertas siasatan berhubung paparan di laman sosial mendakwa berlaku cubaan untuk memotong barisan suntikan COVID-19 oleh kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan telah diserahkan kepada pendakwa raya.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, siasatan hampir selesai dan terserah kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
“Siasatan kita hampir selesai dan sekarang kertas siasatan sudah dirujuk kepada pendakwa raya negeri dan pendakwa raya sudah mengangkatnya ke Putrajaya untuk arahan selanjutnya. Jadi kita tunggu apa arahan Putrajaya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sambutan Hari Polis peringkat Ibu Pejabat Kontinjen Kelantan pada Khamis.
Jelasnya, pihak polis juga sudah merekodkan keterangan individu utama iaitu seorang doktor pada minggu lepas.
Sebelum ini, seramai tujuh individu sudah direkodkan keterangan bagi melengkapkan siasatan.
BACA: Vaksin COVID-19: Polis sedang lengkapkan siasatan berhubung 'potong barisan'
Pada 3 Mac lepas, kerajaan Kelantan melalui pegawai khas Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Mohamed Taufik Ramli membuat laporan berhubung penularan paparan berkenaan serta dakwaan itu.
BACA: Potong barisan untuk divaksinasi? Denda sehingga RM50,000 menanti!
Kerajaan negeri meminta pihak polis menjalankan siasatan berhubung laporan yang didakwa tidak benar serta menjejaskan imej kerajaan negeri.
BACA: Kerajaan Kelantan nafi potong barisan untuk dapatkan suntikan vaksin COVID-19
Sebelum ini, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin menafikan dakwaan berlaku ‘potong q’ membabitkan 200 kakitangan pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan (SUK) dalam program imunisasi COVID-19 di Kelantan pada 2 Mac lepas.
BACA SEMUA BERHUBUNG VAKSIN COVID-19 DI SINI
Awal bulan ini, tular di laman media sosial antaranya di Twitter memaparkan tangkap layar pesanan mendakwa suntikan vaksin COVID-19 kepada doktor dan jururawat serta petugas barisan hadapan yang tersenarai awal terpaksa ditangguhkan bagi memberikan laluan kepada kakitangan SUK.
#COVID-19 #vaksin #potong barisan #pendakwa raya #Pejabat Setiausaha Kerajaan #Kelantan
;