Kertas siasatan ahli politik dikaitkan dengan sindiket pemerdagangan manusia telah lengkap - KPN

Bernama
September 10, 2024 17:49 MYT
Razarudin berkata pihaknya telah mengambil keterangan daripada 11 individu termasuk ahli politik berkenaan dan suaminya serta seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri bagi melengkapkan kertas siasatan berkenaan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berhubung seorang ahli politik tempatan dan suaminya dikaitkan dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar telah dilengkapkan dan akan dirujuk Jabatan Peguam Negara bagi tindakan lanjut.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya telah mengambil keterangan daripada 11 individu termasuk ahli politik berkenaan dan suaminya serta seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri bagi melengkapkan kertas siasatan berkenaan.
"Siasatan polis bagaimanapun tidak menemukan sebarang bukti pasangan itu (ahli politik dan suaminya) terlibat dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar, kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara bagi mendapatkan cadangan tindakan seterusnya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Terdahulu Razarudin dilaporkan berkata pihaknya mengesahkan keberadaan ahli politik itu bersama suaminya serta tiga lagi individu ke Myanmar untuk urusan pelaburan hartanah, namun siasatan mendapati tiada sebarang pelaburan dibuat di negara terbabit.
Pada 28 Ogos lepas beberapa media melaporkan seorang ahli politik yang juga bekas timbalan menteri dipercayai terlibat dengan sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa beroperasi di Myanmar sejak awal 2020, namun ahli politik berkenaan menafikan pembabitannya dan sudah membuat laporan berhubung perkara itu.
Baru-baru ini tular sebuah video pembongkaran sindiket di Myanmar itu menerusi YouTube yang diterbitkan di Indonesia dengan memaparkan rakyat negara itu turut menjadi mangsa pemerdagangan manusia.
-- BERNAMA
#Ketua Polis Negara #Peguam Negara #YouTube #pemerdagangan manusia
;