Kertas siasatan 1MDB dirujuk ke Peguam Negara - Zahid

Haider Yutim, Hakim Rahman
Jun 11, 2015 11:34 MYT
Menurut Zahid, Jabatan Ketua Audit Negara telah diarahkan oleh kerajaan untuk menjalankan audit ke atas syarikat 1MDB.
Kertas siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dirujuk ke Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut beliau, kes itu kini telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan pecah amanah jenayah oleh ejen.
"Pada masa yang sama juga, Jabatan Ketua Audit Negara telah diarahkan oleh Kerajaan untuk menjalankan audit ke atas syarikat 1MDB," katanya dalam satu kenyataan bertulis di Parlimen pada Khamis.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen DAP-Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang mahu beliau menyatakan kedudukan siasatan pihak polis ke atas dakwaan penyelewengan dalam urus niaga 1MDB yang telah menyebabkan kerugian berbilion ringgit.
Menurut beliau, Jabatan Peguam Negara sebelum ini telah mengarahkan Ketua Audit Negara diberi keutamaan pertama untuk menjalankan tugas pengauditan serta memperolehi dokumen-dokumen berkaitan.
“Ini bagi mengesahkan sama ada wujud sebarang penyelewengan atau salah laku dalam pengurusan syarikat milik kementerian kewangan itu,” katanya.
Tambah Ahmad Zahid, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) juga turut menjalankan prosiding mereka bagi menyiasat dakwaan salahlaku dalam 1MDB.
#1MDB #jabatan audit #PAC #Peguam Negara #Zahid Hamidi