Kertas Putih Tabung Haji boleh dibentangkan tetapi... - Mujahid
Hasimi Muhamad
April 10, 2019 10:34 MYT
April 10, 2019 10:34 MYT
Kerajaan tidak menolak kemungkinan akan membentangkan laporan Kertas Putih melibatkan Lembaga Tabung Haji (TH) yang dijangka melibatkan masalah urus tadbir dalam institusi kewangan Islam itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, bagaimanapun laporan tersebut tidak sempat untuk dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini.
“White Paper (Kertas Putih TH) ini boleh dibuat tetapi sesi (Parlimen) ini mungkin tidak sempat. Tetapi insyaAllah pagi ini juga selepas Soal Jawab (Dewan Rakyat) sebelum pembentangan White Paper (Felda), saya akan buat kenyataan menteri di Parlimen,” katanya dalam Buletin Khas Astro AWANI Menjelang Setahun Malaysia Baharu, hari ini.
Hari ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dijangka akan membentangkan Kertas Putih FELDA selepas sesi pertanyaan lisan persidangan Dewan Rakyat.
Kertas itu dibentangkan berikutan kecelaruan pengurusan dan hutang melampau agensi itu yang melebihi RM8 bilion.
Mengulas lanjut, Mujahid berkata kerajaan komited dan giat melakukan pengstrukturan semula dalam TH termasuk memerangi kegiatan rasuah, memastikan tiada ahli politik menjawat mana-mana jawatan dalam institusi tersebut serta mengembalikan kepercayaan rakyat.
“Ini reformasi termasuk yang dalamnya secara khusus saya di amanahkan iaitu TH dengan komitmen RM17.8 bilion itu kalau orang kata tak pulih saya kata tak tahulah. Itu sebesar-besar komitmen kerajaan macam mana kita cuba untuk memastikan (TH kembali pulih),” jelasnya lagi.
#Azmin Ali
#Dewan Rakyat
#kertas putih
#Malaysia
#Menteri di Jabatan Perdana Menteri
#Mujahid Yusof Rawa
#penyelewengan
#Perdana Menteri
#Tabung Haji
#TH