Kertas Putih Kesihatan dijangka dibentang di Dewan Rakyat minggu depan - Dr Zaliha
Hasimi Muhamad
Mei 30, 2023 15:21 MYT
Mei 30, 2023 15:21 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan telah mendapat kelulusan daripada Setiausaha Parlimen untuk Kertas Putih Kesihatan dibentang di Dewan Rakyat pada persidangan yang dijadual bersambung minggu depan hingga 15 Jun ini.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata Kertas Putih Kesihatan itu bagaimanapun akan terlebih dahulu dibawa ke Kabinet pada minggu depan.
“Kita sedang mendapatkan tarikh sebenar untuk dibentang di Parlimen.
"Kita memang dah dapat persetujuan daripada Setiausaha Parlimen untuk bentang (Kertas Putih Kesihatan) di sesi Parlimen akan datang pada Jun.
“Selepas bentang, bila pula kita akan laksana? Apa yang kita bentang ini masih dalam peringkat konsep, tetapi kita sudah ada rangka yang meliputi empat tonggak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi taklimat bersama media berhubung Kertas Putih Kesihatan, di sini.
Sidang Parlimen akan bersambung semula pada 6 hingga 15 Jun ini.
Dr Zaliha menambah, Kertas Putih Kesihatan akan dilaksanakan sebagai reformasi berperingkat selama 15 tahun meliputi jangka masa pendek, sederhana, dan panjang.
Bagi memastikan reformasi berkenaan berjaya dicapai, jelas Dr Zaliha, Suruhanjaya Reformasi Kesihatan akan ditubuhkan, yang mana terdiri daripada pelbagai kementerian, agensi, dan pemegang taruh.
Suruhanjaya tersebut, katanya, akan membincangkan strategi-strategi yang digariskan oleh KKM dalam Kertas Putih Kesihatan.
"Keempat-empat tonggak yang kita gariskan ini tidak berdiri sendiri, ia saling berhubungan antara satu sama lain dan dari segi tonggak pertama, ia sudah ada yang kita laksanakan.
"Cumanya kita perlu menambah baik sistem penyampaian tersebut. Contohnya, dalam aspek digital, banyak perkara yang perlu kita laksanakan," ujarnya.
Kertas Putih Kesihatan menggariskan empat tonggak dan 15 strategi reformasi kesihatan bermatlamatkan ke arah satu sistem kesihatan yang memfokuskan kepada perkhidmatan pencegahan dan promotif agar rakyat kekal sihat dan sejahtera.
Antara strateginya, penstrukturan semula peranan KKM, meningkatkan pelaburan untuk kesihatan, dan memantapkan tenaga kerja untuk kesihatan.