Kertas Putih dedah bahaya fahaman radikal IS

Bernama
November 26, 2014 13:07 MYT
Kertas Putih IS yang dibentangkan di Parlimen turut memuatkan lampiran bergambar wajah rakyat Malaysia yang terbunuh di Syria, kekejaman IS di Syria dan Iraq serta beberapa biografi kepimpinan IS. - AFP/Gambar fail
'Kertas Putih Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Islamic State (IS)' yang dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat pada Rabu mendedahkan bahaya fahaman radikal dan ekstrem IS yang bertentangan dengan ajaran Islam, amalan demokrasi dan nilai kemanusiaan.
Selain itu, objektif Kertas Putih itu dikeluarkan adalah bagi menyedarkan rakyat Malaysia supaya tidak terpengaruh dengan ideologi IS yang mengugat keselamatan dan kestabilan negara.
Kertas Putih setebal 19 muka surat itu turut mencadangkan langkah-langkah bersepadu berasaskan undang-undang khusus untuk menangani ancaman pengganasan.
Ia terbahagi kepada sembilan topik kecil, antaranya Latar Belakang IS, Ancaman Kumpulan IS, Tahap Ancaman Keselamatan Kepada Malaysia dan Tindakan Masyarakat Antarabangsa Terhadap IS.
Menurut dokumen itu yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, jumlah kekuatan keseluruhan IS sehingga kini dianggarkan 31,500 orang, terdiri daripada rakyat tempatan dan militan asing.
Menurut dokumen itu, IS berasal daripada golongan pelampau yang berpegang kepada ideologi Salafi-Jihadi yang memperjuangkan penubuhan Daulah Islamiah melalui peperangan serta mengkafirkan pemerintah Islam yang tidak menegakkan hukum syariah.
"Kumpulan ini memberi tafsiran berbeza terhadap sempadan dan batas-batas jihad di mana mereka menolak definisi jihad sebenar yang berasaskan kepada Al-Quran dan Sunnah.
"Ini membolehkan mereka membunuh sesiapa sahaja tanpa mengira orang Islam atau bukan Islam. Mereka juga menghalalkan tindakan yang lebih agresif dan kemusnahan harta benda walaupun melibatkan hak saudara seagama mereka sendiri," menurut Kertas Putih itu.
Selepas berjaya menguasai beberapa wilayah di Syria dan Iraq, IS dikatakan telah mengumpul nilai aset hampir RM7 bilion, di samping penjualan minyak di pasaran gelap sebanyak RM3 juta sehari dan wang simpanan RM1.4 bilion hasil rampasan Bank of Mosul.
Dokumen itu menyebut rakyat Malaysia dilihat mudah terdorong untuk menyertai IS disebabkan keinginan untuk mati syahid, kepercayaan bahawa perang di Syria adalah peperangan akhir zaman dan perasaan simpati terhadap penderitaan umat Islam di Syria.
Tanpa sekatan, penularan ideologi IS mampu menimbulkan kekacauan dan konflik antara kaum dan agama di Malaysia, menurut dokumen itu.
"Tambahan pula, akses kepada media sosial yang digunakan IS telah menarik simpati dan memerangkap anak-anak muda Malaysia untuk menyertai kumpulan tersebut.
"Ini merupakan satu cabaran besar kepada kerajaan dalam usaha mengekang secara efektif penyebaran ideologi IS. Justeru, semua pihak dan bukan sahaja kerajaan berperanan memerangi IS di alam siber," katanya.
Ia menggesa seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan pegangan politik untuk menolak ideologi ekstrem dan yakin bahawa konsep wasatiyyah atau kesederhanaan adalah jalan terbaik untuk menjamin keamanan dan kesejahteraan negara.
"Malaysia terus komited untuk bersama-sama masyarakat antarabangsa dalam menangani ancaman pengganasan. Kerajaan yakin kerjasama ini akan turut menyumbang ke arah memperkukuhkan lagi keselamatan negara.
"Semua langkah ini akan mementapkan lagi usaha kerajaan untuk menangani ancaman radikalisme, ekstremisme dan sebarang aktiviti pengganasan," menurut Kertas Putih itu.
Ia turut memuatkan lampiran bergambar wajah rakyat Malaysia yang terbunuh di Syria, kekejaman IS di Syria dan Iraq serta beberapa biografi kepimpinan IS.
#IS #Islamic State #kertas putih #militan