Kertas kajian operasi Uber dan GrabCar dibentang di Kabinet pertengahan Ogos
Israr Khalid
Julai 27, 2016 18:57 MYT
Julai 27, 2016 18:57 MYT
Kertas kajian operasi teksi Uber dan Grabcar dijangka dibentangkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) kepada Kabinet pertengahan Ogos ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, penangguhan itu disebabkan pihaknya mahu ia dibentangkan dengan lengkap merangkumi suara daripada semua pihak yang berkaitan.
Sepatutnya ia dibentangkan kepada Kabinet pada Rabu tetapi ia ditunda memandangkan masih ada ruang menambah baik cadangan sedia ada.
Jelas Nancy, pihaknya perlu teliti dan berhati-hati dengan setiap cadangan yang diajukan demi manfaat rakyat secara seluruhnya bila dilaksanakan kelak.
"Mengambil kira semua ini, SPAD telah menyediakan satu kertas kerja ini yang saya belum mendapat secara penuhnya kerana ia terlalu awal untuk kita komen sebelum pihak kementerian semua memberi pandangan masing-masing.
"Selain daripada itu juga, saya difahamkan pihak Jabatan Perdana Menteri secara pentadbiran perlu melihat perkara ini supaya kalau dibentang ia dikira sempurnalah. Sempurna dari segi pertimbangan semua pihak yang memerlukan untuk memberi komen masing-masing," ujarnya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak dapat menjangka tarikh pelaksanaan transformasi industri teksi itu, dan ia bergantung kepada persetujuan kabinet.
Untuk kertas kajian terbabit, SPAD sudah mengadakan pertemuan dengan syarikat pengusaha perkhidmatan teksi, Uber dan GrabCar serta pihak berkaitan termasuk orang ramai.
Ia bagi mencari rumusan terhadap kemungkinan perkhidmatan Uber dan GrabCar dapat dilaksanakan bersama, merangkumi aspek kawalan selia penggunaan aplikasi perkhidmatan itu.