Kertas Kabinet pencerobohan keselamatan siber dibentang minggu depan - Abdul Latiff

Umavathi Ramayah
Oktober 7, 2021 17:43 MYT
Abdul Latiff Ahmad berpendapat Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu memperkukuhkan dan perketatkan keselamatan siber dari sudut manusia, proses dan teknologi.- Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Satu Kertas Kabinet berhubung pencerobohan sekuriti siber akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada minggu depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Abdul Latiff Ahmad berkata, meskipun ada undang-undang seperti Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Akta Polis, namun kerajaan berpendapat perlunya ada satu akta khusus bagi penguatkuasaan ke atas sekuriti siber secara spesifik.
"Ahli Parlimen Kluang (Wong Shu Qi) ada melahirkan kebimbangan mengenai kebocoran maklumat-maklumat dalam clearnet di mana katanya data daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sudahpun dijual di peringkat clearnet.
"Tapi sebenarnya sebelum wujud di clearnet, sudah ada proses-proses di deep dan darknet," katanya ketika penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di sini, pada Khamis.
Sehubungan itu, Abdul Latiff berpendapat Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu memperkukuh dan memperketatkan keselamatan siber dari sudut manusia, proses dan teknologi.
#keselamatan siber #kerta kabinet #JPN #clearnet
;