Kerosakan parkir Taman Negara Kinabalu, laluan Tamparuli-Ranau akan dibaiki segera

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Januari 20, 2021 13:45 MYT
Joachim meninjau keadaan tempat letak kereta Taman Negara Gunung Kinabalu dan Jalan Tamparuli-Ranau yang rosak akibat tanah runtuh awal pagi Rabu. - Foto Astro AWANI
KUNDASANG: Kawasan letak kereta di Taman Negara Gunung Kinabalu yang rosak akibat tanah runtuh hingga menjejaskan laluan Tamparuli-Ranau akan dibaiki segera.
Jaminan itu diberikan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. Joachim Gunsalam sambil memberitahu, kerja-kerja pembaikan perlu dijalankan memandangkan laluan itu merupakan laluan utama dari Kota Kinabalu ke Kundasang, Ranau dan Sandakan.
"Saya hari ini meninjau keadaan di kawasan itu. Kerja pembaikan perlu dilaksanakan dengan kadar segera kerana jalan ini merupakan jalan utama.
"Kerja-kerja pembaikan ini juga bagi mengelak kemalangan jiwa berlaku," katanya dalam satu kenyataan selepas meninjau lokasi kejadian tanah runtuh pada Rabu.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1 pagi Rabu, runtuhan membabitkan kawasan sepanjang 150 meter dengan lebar 100 meter.
Ia berikutan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu yang turut menyebabkan banjir dan kejadian tanah runtuh di daerah Ranau.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian negeri itu turut mengingatkan penduduk di Kundasang agar berhati-hati di musim hujan kerana kebarangkalian kejadian tanah runtuh berlaku adalah tinggi.
#Letak kereta Taman Negara Kinabalu #Gunung Kinabalu #Jalan Tamparuli-Ranau rosak #tanah runtuh #Datuk Dr Joachim Gunsalam #Timbalan Ketua Menteri Sabah
;