Kerosakan lif di HSNZ diatasi secara berperingkat

Bernama
Januari 1, 2018 04:00 MYT
Masalah kerosakan lif yang sering berlaku di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dijangka dapat diatasi secara berperingkat. - Gambar fail Bernama
Masalah kerosakan lif yang sering berlaku di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dijangka dapat diatasi secara berperingkat dalam tahun ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.
Beliau berkata ketika ini terdapat sembilan lif di HSNZ termasuk enam lif untuk orang awam dan masing-masing satu lif diraja, lif barang dan lif untuk kakitangan.
"Daripada jumlah itu, sebanyak empat lif akan diganti baharu dengan peruntukan diluluskan RM1.6 juta melalui Jawatankuasa Pembangunan Persekutuan (JPP) di bawah kelulusan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi).
"Ia dilakukan melalui dua fasa di mana dua lif untuk fasa satu telah diberi jaminan oleh pihak kontraktor bahawa ia boleh disiapkan pada 10 Jan ini dan dijangka boleh digunakan oleh orang awam sama ada sehari atau dua hari selepas itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat yang disampaikan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Che Kamaruddin Bahar di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Roslee Daud dan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohammad Omar.
Masalah kerosakan lif yang berusia antara 17 hingga 31 tahun di blok utama HSNZ itu sering menjadi rungutan orang ramai dan ia menjadi tular di laman sosial sebelum ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata dua lagi lif yang mengalami kerosakan sensor dan komponen pula akan ditukar baharu dalam fasa kedua dan dijangka siap pada Mac depan.
"Selesai kerja penggantian empat lif itu, kerajaan negeri akan berusaha mendapatkan peruntukan untuk menukar baki lima lif dan kesemua sembilan lif ini akan diganti baharu pada tahun ini," katanya.
Bagi melancarkan lagi kerja-kerja naik taraf dua lif yang sedang berjalan sekarang, HSNZ akan mengubah waktu lawatan pesakit pada tengah hari mulai esok sehingga 15 Jan ini iaitu pukul 12.30 hingga 2.30 petang berbanding pukul 12 tengahari hingga 2 petang ketika ini.
Ia bagi memberi laluan kegunaan lif untuk diutamakan kepada troli makanan, ubat, sisa klinikal dan sampah dari wad serta mengelak pertembungan pelawat dengan kakitangan yang bertukar syif pada waktu puncak itu.
Sementara itu, Dr Mohammad berkata orang ramai diharap dapat memberi kerjasama berhubung perubahan waktu melawat itu dan bagi pelawat yang sihat, mereka digalakkan menggunakan tangga bagi mengurangkan kesesakan penggunaan lif.
"Kerosakan lif yang sering berlaku di HSNZ memberi implikasi buruk terhadap perkhidmatan hospital ini seperti kelewatan penghantaran pesakit masuk ke wad dan kecemasan, sampel ujian pesakit ke makmal dan kelewatan kakitangan masuk bertugas.
Dianggarkan antara 3,000 hingga 4,000 pelawat datang ke hospital itu setiap hari," katanya.
-- BERNAMA
#Ahmad Razif Abdul Rahman #HSNZ #Kuala Terengganu #lif #Menteri Besar #rosak
;