Kerosakan landskap, rakyat perlu ada sikap tanggungjawab - Annuar Musa

Hilmi Malik
September 3, 2022 16:22 MYT
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berucap pada Majlis Pelancaran Jualan Murah Keluarga Malaysia DE Dagang di Plaza Shah Alam hari ini. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM : Rakyat di negara ini perlu memupuk sikap tanggungjawab dalam soal memelihara harta benda awam termasuk landskap dan fasiliti awam.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa bagaimanapun berkata, kerosakan landskap yang berlaku baru-baru ini dianggap perkara biasa berikutan kehadiran pengunjung yang ramai sewaktu sambutan Hari Kebangsaan.
"Cuma untuk panduan masa akan datang bila ada program beramai-ramai, kita semua ambil tanggungjawab, kita jaga. Harta kerajaan itu harta kitalah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar pelancaran kempen Jualan Murah Keluarga Malaysia@DE DAGANG (JMKM@DE DAGANG) di Plaza Shah Alam pada Sabtu.
Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Jumaat memaklumkan, pihaknya mengalami kerugian sebanyak RM700,000 susulan kerosakan landskap yang berlaku ketika sambutan kemerdekaan pada Rabu lalu.
Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, jumlah pengunjung yang hadir pada sambutan kali ini juga dianggap luar biasa dan sesuatu yang di luar jangkaan.
BACA: Hari Kebangsaan: DBKL rugi RM700,000 akibat kerosakan landskap
#DBKL #Annuar Musa #Hari Kebangsaan #landskap #K-KOMM
;