Kerosakan ilmu bermula apabila orang jahil diangkat sebagai cendekiawan
Madiha Abdullah
Julai 29, 2023 20:29 MYT
Julai 29, 2023 20:29 MYT
KUALA LUMPUR: Permulaan kepada kerosakan ilmu pengetahuan adalah apabila mereka yang jahil dianggap dan dibenarkan menjadi cendekiawan.
Menurut bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Dr Syed Ali Tawfik Al- Attas, apabila yang jahil diterima sebagai cendekiawan, ia akan membawa kepada hilangnya pengiktirafan terhadap perkara yang betul.
Ujarnya, bapanya, Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, memperjuangkan falsafah konseptual yang mempunyai hubung kait dengan prinsip keadilan dan ketidakadilan menjadi punca berlakunya kerosakan ilmu pengetahuan.
"Ketidakadilan yang dikenal pasti sebelum ini telah membawa kepada ibu kepada segala kerosakan iaitu kerosakan ilmu. Di situlah orang jahil dibenarkan menjadi cendekiawan. Apabila seorang jahil menyamar sebagai cendekiawan, ia mengakibatkan kerosakan kebenaran dan ilmu pengetahuan.
"Jika anda terus berada dalam keadaan keliru dan jahil, yang akan berlaku ialah hilangnya adab. Ini bermakna tiada lagi kebolehan mengenal pasti tempat dan perkara yang betul. Masalah ini menjadi nyata kerana apa yang ayah saya sebut sebagai sekularisme program falsafah," katanya dalam syarahan perasmian sempena pelancaran buku Islām: The Covenants Fulfilled, di ibu negara, pada Sabtu.
Sekularisme sebagai program falsafah, jelasnya, telah berjaya mengubah bahasa dan implikasinya pula telah berjaya mengubah cara manusia berfikir, terutamanya bagi umat Islam.
Tambahnya, uniknya bahasa Melayu kerana ia sebuah bahasa saintifik, yang sangat cenderung ke arah rasional dan bukan emosi, namun ia kini dianggap sebagai bahasa yang kabur.
"Kita secara beransur-ansur menggunakan istilah bahasa Inggeris dalam Bahasa Melayu. Inilah sebenarnya yang berlaku dalam kerosakan ilmu. Sekularisme program falsafah bermula dengan menukar bahasa.
"Ini kerana bahasa dan pemikiran saling berhubung, dengan kata lain, apa yang anda perkatakan akan mempengaruhi cara anda berfikir dan cara anda berfikir boleh dinyatakan melalui bahasa. Jadi jika anda ingin menggambarkan kebenaran dan realiti, anda perlu menggunakan bahasa kebenaran dan realiti.
"Kita sebut bahasa jiwa bangsa tapi di mana 'jiwa bangsa'? Lihat bahasa yang digunakan oleh ahli politik, orang politik akan kata 'merealisasikan'. Mengapa menggunakan istilah sedemikian? Bahasa Melayu kaya dengan istilah yang betul dan tepat, seperti menzahirkan dan melahirkan.
"Dalam bahasa Inggeris pun, apabila kita sebut real, apa yang kita maksudkan? Perlu ada penjelasan lanjut untuk memahami maksud istilah real. Mengapa anda menggunakan sesuatu yang samar-samar dan memaksanya ke dalam bahasa yang sangat saintifik?
"Malah sekarang ramai orang Melayu tidak boleh menggunakan bahasa Melayu, sebaliknya mereka menggunakan versi dengan banyak istilah daripada bahasa Inggeris dan mereka fikir itu adalah wajar," katanya lagi.