Kerosakan fosil Gua Masoorat: Syarikat produksi didenda, tunggu laporan akhir USM
Aida Aziz
September 4, 2022 08:45 MYT
September 4, 2022 08:45 MYT
IPOH: Pihak produksi penggambaran yang mengakibatkan kerosakan fosil berusia jutaan tahun dan dinding di Gua Masoorat di sini, sudah dikenakan denda, kata Datuk Bandar Datuk Rumaizi Baharin.
Bercakap mengenai perkembangan terkini hasil kajian berhubung nilai kerosakan aset warisan itu, beliau berkata, pihaknya dalam fasa akhir menunggu jawapan pakar dari Universiti Sains Malaysia (USM).
"Sebab, saya kena dapatkan (hasil kajian) dari Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan USM. Tetapi dari USM belum keluar lagi. Yang baru dapat hanya JMG. Oleh itu, belum boleh umum.
"Produksi itu memang kita sudah denda, sudah diambil tindakan. Kita denda dengan sejumlah bayaran, yang saya tidak ingat berapa, kena pastikan semula maklumat itu.
"Mereka sudah didenda. Sebab, sebenarnya masuk tanpa kebenaran," katanya pada sidang media ketika hadir di Majlis Pelancaran Perayaan Kuih Bulan di People's Park, di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Rumaizi berkata, pihaknya kini sudah menggerakkan kerja-kerja pemuliharaan di kawasan fosil tersebut.
"Kita sudah buat kerja pemuliharaan dan di dalam kawasan itu ada penemuan beberapa fosil baharu.
"Kita juga bekerjasama dengan ahli paleontologi (pakar kaji fosil) serta universiti bagi tujuan tersebut (pemuliharaan).
"Apabila dapat nanti hasil laporan penuh pakar berhubung nilai kerosakan itu, saya kena teliti dahulu, sebab ia melibatkan khazanah negara.
"Saya perlu dapatkan nasihat daripada pihak yang lebih arif, setelah itu kita akan maklumkan kepada umum hasil laporan tersebut," katanya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang menunggu laporan penuh daripada ahli paleontologi bagi menentukan nilai dan kos tuntutan ganti rugi terhadap sebuah produksi penggambaran yang mengakibatkan kerosakan fosil berusia jutaan tahun dan dinding di Gua Masoorat.
Turut dilaporkan, kerajaan negeri Perak akan mengambil tindakan tegas dan menuntut ganti rugi daripada syarikat produksi drama yang menjalankan penggambaran di lokasi berkenaan, sehingga menyebabkan kerosakan pada khazanah dan warisan negara.