Keropok lekor 'gasi' tarikan Bazar Ramadan Batu Buruk

Bernama
Mei 29, 2018 18:01 MYT
Peniaga keropok, Ahmad Bukhori Ayob, 32, menunjukkan 'keropok lekor Ayah Gasi' yang dijual digerai beliau di bazar Ramadan Batu Buruk. - Bernama
Lazimya keropok lekor yang dijual di negeri ini adalah seberat 100 gram dan berharga RM1 sebatang namun, Bazar Ramadan Batu Buruk di sini menampilkan kelainan apabila menjual keropok lekor gergasi.
Ini bagi membolehkan pengunjung, yang merasakan keropok lekor saiz biasa itu tidak mencukupi buat mereka, membeli keropok lekor gergasi yang seberat 600 gram sebatang.
Malah, peniaga Ahmad Bukhori Ayob turut menjual keropok lekor yang seberat 1.2 kilogram (kg) sebatang.
Beliau berkata tiga saiz keropok lekor itu memberikan kelainan dan pilihan kepada peminat keropok lekor mengikut selera masing-masing.
"Paling banyak saya sediakan tentulah keropok lekor seberat 100 gram (RM1), keropok lekor 'gasi' (gergasi) seberat 600 gram dijual pada harga RM5 dan yang paling mendapat perhatian ramai tentulah keropok lekor 'ayoh gasi' seberat 1.2 kg yang dijual RM10," katanya yang turut mempunyai sebuah gerai keropok lekor di Losong.
Beliau menjangkakan permintaan terhadap keropok lekor 'gasi' akan terus bertambah pada minggu ketiga dan keempat Ramadan ini.
Ahmad Bukhori berkata setiap hari, beliau dan lima pekerja di gerai Losong akan memproses 100 kilogram ikan tamban dan ikan selayang serta 120 kg tepung sagu untuk menyediakan makanan tradisional kegemaran rakyat Terengganu itu.
"Sebagai peniaga, kita memang perlu sentiasa kreatif dan mencipta inovasi baharu untuk kekal berdaya saing di pasaran dan saya bersyukur kerana idea unik saya ini mula mendapat tempat di hati pembeli.
"Ada juga pelanggan yang tidak berpeluang ke Bazar Ramadan ini dan meminta kami membuat penghantaran ke rumah atau pejabat mereka...kami akan menghantarnya di sekitar pusat bandar ini kerana faham dengan kekangan masa mereka," katanya yang dibantu dua pekerja di gerai itu.
Beliau berkata keropok lekor 'gasi' turut popular di Kuala Lumpur dan banyak dijual di beberapa pasar malam di ibu negara.
Tinjauan mendapati kebanyakan pengunjung Bazar Ramadan Batu Buruk teruja melihat keropok gergasi itu dan rata-rata mengakui tidak pernah menemui keropok lekor sebesar dan seberat itu di tempat lain setakat ini.
Sementara itu, Ahmad Muzammir Hamid, 35, berkata beliau suka membeli keropok lekor gasi itu kerana ia disukai oleh anak-anaknya yang teruja dengan saiznya yang lebih besar berbanding yang dijual di tempat lain.
"Lagipun memang lebih jimat apabila membeli keropok lekor gasi ini, cara menikmatinya juga lebih seronok apabila dapat dipotong mengikut kehendak masing-masing," katanya.
Warga emas, Maimun Abdillah, 64, pula berkata beliau terkejut semasa melihat keropok lekor gasi itu pada kali pertama kerana menyangkakan ia adalah ketulan keropok yang ingin diproses menjadi keropok keping sahaja.
"Bila ditanya kepada peniaga, baru tahu ini ciptaan baharu sebagai kelainan untuk pembeli menikmati makanan tradisi Terengganu. Sejak itu, tok beli tiga atau empat kali seminggu kerana cucu sangat suka makan keropok lekor gasi ini," katanya.
-- BERNAMA
#Batu Buruk #Bazar Ramadan #juadah berbuka #keropok lekor #keropok lekor gergasi #pelanggan #peniaga
;