Keropok lekor cheese Pozi jadi tarikan, rasa tersendiri

Bernama
September 19, 2018 09:57 MYT
Mohd Pozi menunjukkan bebola keropok lekor yang dilimpahi keju. --fotoBERNAMA
Seorang pengusaha keropok lekor di Terengganu mencipta kelainan dalam mempelbagaikan produk keluarannya dengan menggabungkan limpahan keju di dalam keropok sebagai penyedap rasa.
Pengusahanya, Mohd Pozi Hassan, 34, berkata keropok keju dan keropok keju mozarela yang dihasilkannya mendapat sambutan amat menggalakkan terutamanya golongan kanak-kanak dan remaja, sementara keropok lekor asli masih lagi menjadi pilihan golongan dewasa.
"Keropok lekor keju yang dihasilkan di sini ada dua jenis iaitu satu yang jenis keju di dalam keropok yang mana apabila kita buka keropok itu kita dapat lihat keju di dalamnya dan satu lagi adalah keropok bebola disalutkan dengan sos keju istimewa yang kita sediakan sendiri.
"Keropok lekor keju ni memang sedap. Ada rasa lemak-lemak masin keju tu dan manis ikan, memang kombinasi yang baik dan tidak mengubah rasa sebenar keropok tersebut. Selain itu, pelanggan juga dapat menikmati rasa keropok ini bersama sos yang kami hasilkan sendiri untuk rasa yang lebih sedap," katanya ketika ditemui Bernama di kedainya di Tok Jembal di sini.
Mohd Pozi belajar membuat keropok dengan mereka yang telah mahir di Gong Badak, di sini dan kemudiannya melakukan inovasi dari semasa ke semasa.
Selain daripada menjual keropok yang telah digoreng dan direbus beliau turut menjual pelbagai jenis keropok kedap udara yang boleh disimpan dalam tempoh lama sehingga melebihi lima bulan jika disimpan di peti sejuk beku.
Menurut Mohd Pozi, pasaran keropoknya telah memasuki Pahang, Pulau Pinang dan Selangor malah mempunyai ramai ajen khas yang menjadi pembekal.
Katanya, beliau mampu meraih pendapatan agak lumayan hasil bidang yang diceburinya itu.
-- BERNAMA
#keju #Kelainan #keropok lekor #Kuala Nerus #Mohd Pozi Hassan #mozarela #pengusaha #terengganu #Tok Jembal
;