Kerjasama Urbanice Malaysia, UN-Habitat sokong komitmen SDGs
Bernama
Ogos 10, 2022 06:00 MYT
Ogos 10, 2022 06:00 MYT
PUTRAJAYA: Jalinan kerjasama antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) akan menjayakan komitmen Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDGs) di peringkat nasional dengan pelaksanaan Agenda Perbandaran Baharu.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata kedua-dua pihak menyokong komitmen terhadap pembangunan perbandaran mampan di semua peringkat melalui peranan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Ini dapat meningkatkan pengetahuan serta mewujudkan perkongsian dan kapasiti dalam mengukuhkan pembangunan bandar dan institusi tempatan serta pelaksanaan pelan pembangunan tindakan bandar SDGs selari dengan 'Decade of Action' menjelang 2030," katanya dalam majlis menandatangani memorandum kerjasama (MoC) antara Urbanice Malaysia dan UN-Habitat, di sini pada Rabu.
Urbanice Malaysia ialah Pusat Kecemerlangan Bandar Mampan dan Kesejahteraan Komuniti yang ditubuhkan pada 2016 di bawah KPKT.
Majlis itu diadakan sempena kunjungan hormat Pengarah Eksekutif UN-Habitat Datuk Seri Maimunah Sharif dan delegasi ke KPKT.
Reezal Merican berkata kerjasama antara Urbanice Malaysia dan UN-Habitat adalah lanjutan daripada pertemuan di World Urban Forum (WUF) 2022 di Poland pada Jun lepas untuk menjayakan komitmen SDGs antaranya menyetempatkan SDGs dengan menggiatkan pelaksanaan program SDGs cities di peringkat kebangsaan dan global serta penglibatan dalam penyediaan voluntary local review.
Beliau berkata kerjasama itu juga adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan membina kapasiti melalui platform latihan, perkongsian sumber matlumat dan penganjuran forum bandar nasional, memperkukuhkan sokongan teknikal serta melaksanakan program bandar berdaya huni dan mampan.
Reezal Merican dalam pada itu berkata KPKT akan melancarkan Indeks Daya Huni Malaysia (iDAM) pada 18 Ogos depan sebagai satu instrumen pengukuran yang akan memberi nilai tambah terhadap usaha semasa yang dilaksanakan dalam agenda Malaysia Berdaya Huni.
Pada November tahun lepas, KPKT dilaporkan sedang menjalankan penilaian dan menghasilkan Indeks Daya Huni Malaysia yang akan memberi perhatian kepada aspek kesejahteraan ekonomi, sosial, alam sekitar, juga meliputi aspek kerohanian dan kesihatan fizikal serta mental.
Indeks itu bagi mendukung ke arah kejayaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 serta mencapai matlamat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu 'Keluarga Malaysia-Makmur, Inklusif dan Mampan'.
Sementara itu, Maimunah berkata MoC itu adalah untuk memperjuangkan perbandaran mampan di Malaysia dengan UN-Habitat akan menyokong dari segi latihan, menyediakan 'digital diagnostic tools' kepada kerajaan tempatan untuk menentukan sama ada mempunyai kemampuan menepati indikator matlamat pembangunan mampan serta melaksanakan kemudahan pelaburan dalam bandar.
Katanya Urbanice Malaysia akan membantu lapan hingga 12 bandar setahun untuk menyediakan laporan kemampanan masing-masing dan menyasarkan keseluruhan 154 PBT akan terlibat secara berperingkat menjelang 2030.
-- BERNAMA