Kerjasama TNB, Siemens Energy pemangkin teroka teknologi guna hidrogen hijau - Tengku Zafrul
Bernama
Mac 12, 2024 14:19 MYT
Mac 12, 2024 14:19 MYT
KUALA LUMPUR: Kerjasama Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Siemens Energy mampu menjadi pemangkin untuk meneroka teknologi serta penyelesaian inovatif bagi penggunaan hidrogen di Malaysia.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi hantarannya di media sosial hari ini, juga menyifatkan langkah itu selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR).
TNB dan Siemens Energy telah memeterai memorandum persefahaman pada tahun lepas yang bertujuan mempercepat penyahkarbonan jana kuasa termal TNB menggunakan hidrogen hijau yang dihasilkan daripada sumber tenaga boleh diperbaharui.
Kenyataan beliau adalah bersempena lawatan rasmi pertama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jerman selama enam hari mulai semalam dengan kunjungan pertamanya di Siemens Energy yang juga antara syarikat teknologi tenaga utama di dunia.
Selain Tengku Zafrul, turut mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan Duta Malaysia ke Jerman Datin Paduka Dr Adina Kamarudin.
Siemens Energy yang beroperasi di 90 negara dan memiliki kira-kira 90,000 pekerja, menceburi keseluruhan landskap tenaga - daripada tenaga konvensional hingga tenaga boleh baharu, teknologi grid kepada simpanan hingga serta pengelektrikan proses perindustrian kompleks.
Kilang di Huttenstrasse di Berlin, Jerman itu mempunyai kira-kira 3,400 pekerja yang terbabit dalam pemasangan turbin gas serta sistem pengeluaran hidrogen elektrolisis.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan serta rombongannya turut dibawa melawat kilang tersebut dan mengadakan perbincangan dengan para pegawai kanan Siemens Energy.
-- BERNAMA