Kerjasama swasta diharap bantu pembangunan komersial atas tanah wakaf - Mujahid

Astro Awani
September 21, 2019 05:28 MYT
Mujahid memerhatikan model pembangunan yang merangkumi kediaman di Taman Wakaf Seetee Aisah 2 selepas melancarkan dan pecah tanah Wakaf Seetee Aisah 2 di Butterworth, 21 Sept, 2019. --fotoBERNAMA
Kerajaan berharap lebih banyak projek komersial di atas tanah wakaf dapat dibangunkan dengan kerjasama pemaju swasta di seluruh negara bagi memudahkan pemilikan rumah kepada umat Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, dengan adanya kerjasama tersebut, secara tidak langsung ia dapat mengatasi masalah tanah yang berpotensi tinggi tetapi tidak dapat dibangunkan, seterusnya memberi pulangan semula kepada umat Islam.
Jelasnya, pembangunan itu merupakan instrumen sosio ekonomi yang dapat meringankan beban kos pembangunan yang perlu ditanggung kerajaan untuk membangunkan tanah wakaf.
Katanya, pembangunan tanah wakaf amat penting pada masa depan, justeru ia perlu diuruskan dan dikembangkan menerusi peruntukan undang-undang khusus.
Tambah Mujahid, undang-undang itu kelak akan memastikan pengurusan tanah wakaf dilakukan secara telus dan bertanggungjawab selain melindungi pewakaf dari sebarang kemungkinan penyelewengan.
"Kami di peringkat persekutuan melihat masa depan wakaf sebagai alat penting bagi kita mengembangkannya lagi. Ia perlukan satu bentuk undang-undang yang akan mengawal ketelusan sekiranya terdapat penyelewengan.
"Undang-undang akan menjamin pewakaf ini. Dan, paling utama, sejauh mana kita mendorong dasar kerajaan, yang kalau (mereka) berwakaf, pulangannya pada dia ialah dari segi kepentingan," katanya.
Mengulas lanjut, Mujahid berkata perkara itu akan diumumkan pada pembentangan Bajet 2020 Oktober ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Pecah Tanah Projek pembangunan Wakaf Sette Aisah 2 anjuran Uda Holdings Berhad di Seberang Jaya, Pulau Pinang pada Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings, Mohd Salem Kailany.
Uda Holdings Berhad bakal membangunkan projek pembangunan bercampur merangkumi kediaman dan komersial di atas tanah wakaf dengan usahasama Majlis Agama Islam Pulau Pinang ( MAIPP).
Pembangunan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM210 juta ini akan dibina pada suku ketiga tahun hadapan dan dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat 2023.
#Islam #kerjasama #kos pembangunan #meringankan beban kerajaan #Mujahid Yusof Rawa #pemaju swasta #pembangunan tanah wakaf #pemilikan rumah #penyelewengan #projek komersial #projek pembangunan bercampur #sosio ekonomi #tanah #uda holdings #undang-undang #wakaf
;