Kerjasama strategik Malaysia-China perkukuh ekonomi negara

Amirul Aiman
September 10, 2024 11:10 MYT
Perdana Menteri Anwar menghadiri Konvensyen Usahawan Cina Sedunia Ke-17 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Selasa.
KUALA LUMPUR: Kerjasama strategik antara Malaysia dan China terus memperkukuh ekonomi negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, China merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut, dengan jumlah dagangan hampir AS$100 bilion.
Tambah beliau, lawatan Perdana Menteri China, Li Jiang pada 18 Jun lalu turut mengerat hubungan ini dengan pemeteraian kitaran kedua Program Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan lima tahun.
“Ini bermakna kami telah meletakkan asas yang kukuh untuk kerjasama yang dipertingkatkan dalam bidang baharu, utama dan inovatif, sektor-sektor yang akan memacu ekonomi ke hadapan," katanya ketika berucap di Konvensyen Usahawan Cina Sedunia Ke-17 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, pada Selasa.
Pada masa sama, Anwar turut menegaskan, komitmen kerajaan dalam memperkukuh landskap ekonomi negara melalui Kerangka Ekonomi MADANI.
Menurutnya, Malaysia sentiasa terbuka kepada nasihat pelabur untuk mewujudkan persekitaran kondusif bagi pelaburan dan inovasi.
"Kami bukan di sini untuk mendakwa bahawa wujudnya sistem dan dasar yang sempurna.
“Kami di sini untuk mentadbir dan belajar, serta membuat penyesuaian yang diperlukan, kerana asas utamanya tetap kemajuan ekonomi," ujar Perdana Menteri lagi.
#Malaysia-China #kerjasama strategik #rakan dagangan #PM Anwar Ibrahim
;