Kerjasama strategik lapan IPT tempatan dengan enam universiti Tatarstan

Bernama
Oktober 24, 2023 05:00 MYT
Mohamed Khaled dan wakil Rais Tatarstan Profesor A. Kh. Gimutdinov menyaksikan pertukaran MoU, MoA, LoC dan adendum yang ditandatangani kesemua pihak terlibat. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Lapan institut pengajian tinggi (IPT) Malaysia menjalin kerjasama strategik dengan enam universiti dari Tatarstan melibatkan pelbagai bidang akademik bagi mengukuhkan rangkaian kerjasama dua hala dalam pendidikan tinggi.
Kerjasama strategik itu menghasilkan tujuh memorandum persefahaman (MoU), satu memorandum perjanjian (MoA), dua surat kerjasama (LoC) dan satu adendum.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan wakil Rais Tatarstan Profesor A. Kh. Gimutdinov menyaksikan pertukaran MoU, MoA, LoC dan adendum yang ditandatangani kesemua pihak terlibat.
IPT tempatan terlibat ialah Universiti Sains Islam Malaysia, Asia Pacific University of Technology and Innovation Malaysia, Multimedia University, University of Cyberjaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kampus Kuala Lumpur, Universiti Kuala Lumpur dan Malaysian Institute of Art.
Universiti dari Tatarstan pula adalah Kazan Federal University, Innopolis University, Kazan State Agrarian University, Kazan State Academy of Veterinary Medicine, Kazan National Research Technological University dan Kazan State Institute of Culture.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Profesor Dr Azlinda Azman berkata antara fokus kerjasama IPT tempatan dan universiti dari Tatarstan yang dipersetujui ialah dalam bidang perbankan Islam, kewangan Islam, industri halal, robotik, perubatan veterinar dan sains semula jadi.
Beliau berkata kesemua kerjasama startegik yang dipersetujui itu adalah rentetan daripada lawatan kerja Mohamed Khaled bersama universiti terlibat ke Forum Kazan 2023 di Tatarstan pada Mei lepas.
"Kebanyakan MoU ini terletak kepada bidang berkaitan bagaimana kita nak meningkatkan lagi kolaborasi dengan pendidikan tinggi terutama universiti yang ada di Malaysia.
"Jadi asasnya adalah untuk menambahkan lagi kerjasama secara penyelidikan dan program akademik, termasuk pertukaran pelajar, pensyarah, latihan industri dan sebagainya," katanya kepada Bernama di sini pada Selasa.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian berkata jalinan kerjasama antara IPT tempatan dan universiti dari Tatarstan itu membolehkan Malaysia mengembangkan bidang kepakaran kepada negara luar, di samping berkongsi pengalaman dalam bidang berkaitan.
"Kita ada banyak pakar yang kita rasa boleh mula kembangkan kepakaran itu keluar negara dan kita juga memerlukan kepakaran dari negara lain untuk kita membuat penambahbaikan, penambahan ilmu baharu kepada pensyarah kita," katanya. - BERNAMA
#program akademik #berkongsi pengalaman #jalinan kerjasama #Memorandum Persefahaman
;