Kerjasama strategik KPJ, Mayo Clinic pacu sektor pelancongan kesihatan

Bernama
Februari 16, 2024 22:28 MYT
Dr Dzulkefly (tengah) pada gimik pelancaran Kolaborasi Strategik di antara KPJ Healthcare dan Mayo Clinic Care Network di Damansara Specialist Hospital 2 hari ini. - Gambar Bernama
PETALING JAYA: Kerjasama strategik yang termeterai antara KPJ Healthcare Berhad dan Mayo Clinic, sebuah pusat akademik kesihatan terkemuka Amerika Syarikat hari ini bakal melonjakkan lagi prestasi sektor pelancongan kesihatan negara.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata melalui kerjasama ini ia dapat memberi peluang dalam usaha meningkatkan lagi amalan terbaik sektor kesihatan swasta dalam menyampaikan perkhidmatan mereka.
"Kerjasama antara Mayo Clinic dan KPJ Healthcare Berhad melalui dua hospital pakarnya iaitu KPJ Damansara Specialist Hospital (KPJ DSH) dan Damansara Specialist Hospital 2 (DSH 2) ini akan meningkatkan prestasi perkhidmatan mereka terutamanya berkaitan inovasi dalam perubatan, teknologi, kepakaran termasuk latihan sumber manusia.
"Gandingan atau kolaborasi ini meletakkan KPJ dalam liganya yang tersendiri dan saya harapkan ia juga akan memberikan lonjakan dan suntikan yang amat penting untuk pelancongan kesihatan negara menokok satu lagi tangga, sekali gus meletakkan Malaysia di satu kedudukan yang terbaik dalam pelancongan kesihatan," katanya kepada pemberita selepas majlis Pemeteraian Kolaborasi Strategik KPJ Healthcare dan Mayo Clinic hari ini.
Turut hadir Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan dan Pengarah Perubatan Eksekutif Mayo Clinic Bahagian Amalan Antarabangsa dan Asia Pasifik Dr Stacey Rizza.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly dalam ucapannya berkata sektor perubatan awam dan swasta masih belum disepadukan secara menyeluruh.
"Sektor awam menampung dua pertiga kes pesakit luar dan pesakit dalam tetapi 75 peratus pakar di Malaysia adalah dalam sektor swasta. Sumber, beban kerja dan data tidak mudah dikongsi antara kedua-duanya, yang membawa kepada kelewatan dalam diagnosis dan rawatan, siasatan berulang yang tidak perlu dan kos tambahan.
"Dengan menjalin pakatan strategik dengan institusi yang dihormati di peringkat global seperti Mayo Clinic, KPJ Healthcare bukan sekadar mengikuti trajektori tetapi secara aktif memimpin ke arah perubahan transformatif dan kerjasama ini menjadi pemangkin kepada inovasi, membolehkan KPJ Healthcare merintis paradigma baharu dalam penjagaan pesakit, penyelidikan perubatan dan penyampaian penjagaan kesihatan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan memfokuskan transformasi digital dan reformasi pembiayaan kesihatan sebagai dua pembaharuan untuk dilaksanakan tahun ini.
Beliau berkata kedua-dua perkara itu menjadi satu keperluan untuk dilaksanakan sejajar reformasi sistem kesihatan negara seperti digariskan dalam Kertas Putih.
Dr Dzulkefly berkata 2024 menjadi tahun pelaksanaan Kertas Putih Kesihatan dengan mewujudkan pasukan teknikal mengikut bidang tertentu.
Mengenai hasrat Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) untuk membina hospital di Gaza, Dr Dzulkefly berkata kerajaan akan membantu menyelaraskan perkara itu.
"Apa yang terjadi pada persidangan itu adalah tabung anjuran MAPIM, mereka berjaya mengumpulkan RM30 juta, mereka menyuarakan harapan ini dan kerajaan Malaysia akan memudahkan dan membantu dalam perkara ini.
"Saya katakan ini adalah idea terpuji dan saya akan bentangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Kabinet," katanya.
Isnin lepas, MAPIM mengumumkan pihaknya menerima sumbangan wang berjumlah RM30 juta yang disalurkan 17 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan individu perseorangan bagi membantu rakyat Palestin terutama menjelang Ramadan.
Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid dilaporkan berkata sumbangan itu akan memfokuskan isu keperluan bekalan makanan dan pembinaan hospital di Gaza.
-- BERNAMA
#kertas putih kesihatan #Mayo Clinic #Sektor pelancongan kesihatan #latihan sumber manusia
;