Kerjasama strategik Google dan Astro AWANI bertepatan dengan agenda transformasi digital - MDEC

Nickyson Nyambar
Mei 7, 2021 19:47 MYT
Kerjasama strategik antara Google dan Astro AWANI menerusi Jiwa SME Google Awani ini seiiring dengan empat teras yang diperkenalkan oleh MDEC.
KUALA LUMPUR: Kerjasama strategik membabitkan Google dan Astro AWANI dalam memacu peralihan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan ke arah digital dilihat sebagai satu langkah yang bertepatan dengan agenda transformasi digital negara.
Menurut Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Wira Dr Rais Hussin Mohamed Ariff dalam satu kenyataan pada Jumaat, usaha ini sejajar dengan empat bidang teras yang diperkenalkan oleh MDEC.
Ujarnya, bidang-bidang tersebut adalah mengaktifkan kemahiran baharu, meningkatkan penerimagunaan, memperkenalkan pengubah industri baharu dan mempromosikan pelaburan bernilai tinggi.
"MDEC mengalu-alukan kerjasama strategik Google dan Astro AWANI yang pastinya memainkan peranan penting dalam memacu masyarakat dan seterusnya mengembangkan ekonomi digital serta bertepatan dengan usaha kita mewujudkan masyarakat yang inovatif, inklusif dan terintegrasi teknologi sejajar dengan Malaysia 5.0,” kata beliau.
Tambahnya, langkah itu juga akan menjadi sokongan utama kepada rangka tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MYDigital) yang menyasarkan kira-kira 875,000 PKS dan usahawan mikro adaptasi E-Dagang menjelang 2025.
Selain itu, jelas beliau, kerjasama erat ini turut mendorong sektor korporat lain terlibat sama dalam mempercepatkan penggunaan digital oleh PKS.
"MDEC sebelum ini bekerjasama dengan Celcom, Digi dan Maxis serta institusi kewangan seperti CIMB Bank untuk memacu pertumbuhan sektor pertanian digital baru-baru ini," katanya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri pula, MDEC sentiasa menyokong lebih banyak syarikat melangkah bersama-sama dalam mendorong penggunaan digital di kalangan perniagaan tempatan, mencipta dan seterusnya melahirkan pemimpin teknologi.
"Ini juga merupakan usaha berterusan kita dalam memacu ekonomi dan pembangunan ke arah menjadikan Malaysia sebagai pusat teknologi dan digital.
"Di MDEC, kami juga bekerjasama erat dengan Google menerusi program Mahir Digital bersama Google yang setakat ini telah berjaya melatih lebih 2,000," katanya dalam kenyataan sama.
Untuk makluman, kerjasama strategik melalui 'Jiwa SME Google AWANI' antara Google dan Astro AWANI ini merangkumi aspek kandungan berita dan hal ehwal semasa, pembangunan kemahiran serta latihan secara maya kepada para usahawan PKS.
BACA: Google Malaysia dan Astro AWANI berganding bahu bantu peniaga kecil beralih ke digital
#Jiwa SME Google-AWANI #Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia #MDEC #Datuk Wira Dr Rais Hussin Mohamed Ariff #Astro Awani #Google
;