Kerjasama semua kementerian 'buang' trauma pelancong - Mas Ermieyati

Wan Syamsul Amly
Februari 22, 2016 17:13 MYT
MAS ERMIEYATI: 'Kerjasama semua kementerian 'buang' trauma pelancong' - Gambar fail
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan bekerjasama dengan semua kementerian untuk perkembangan terkini serta sebarang susulan mengenai amaran isu pengganas yang dikeluarkan kerajaan Australia.
Timbalan menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata ia bagi memastikan tahap keselamatan negara terutama kawasan pelancongan berada dalam keadaan selamat dan terjamin dari sebarang ancaman.
"Setakat ini kita tidak ada mendengar sebarang maklumat mengenai perkara tersebut namun akan sentiasa mengemas kini sebarang maklumat dengan semua kementerian mengenai hal berkenaan. Kerjasama semua kementerian buang trauma pelancong ke Malaysia.
"Kita harap isu ini tidak menimbulkan panik dalam kalangan rakyat Malaysia apatah lagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi jaminan tentang keselamatan. Jangan bimbang kerana keadaan semua seperti biasa. Kita sudah mulakan 2016 dengan baik untuk pelancong datang dan pastinya rakyat perlu mainkan peranan serta tanggungjawab masing-masing," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mas Ermieyati mengulas amaran pemerintah Australia kepada rakyatnya yang berada di Malaysia untuk berwaspada dengan ancaman pengganas yang mungkin berlaku di sekitar Kuala Lumpur.
Dalam kenyataan itu, ancaman serangan itu mungkin menyasarkan kawasan yang sering dikunjungi warga asing khususnya pelancong Barat.
Australia menasihatkan rakyatnya agar mengambil langkah berhati-hati di seluruh Malaysia, dengan mengelakkan perjalanan ke timur Sabah termasuk pulau-pulau dan lokasi menyelam skuba. New Zealand juga megklasifikasikan perjalanan ke destinasi tersebut sebagai 'berisiko tinggi'.
Dalam pada itu jelas Mas Ermieyati, isu itu diharap tidak menggugat sebarang kemasukan pelancong ke dalam negara.
"Kerana itu kita tidak mahu mana-mana pelancong terpengaruh dengan khabar yang tidak disahkan seumpama itu," ujarnya.
Menurut laporan Bloomberg, seorang jurucakap Kementerian Luar Malaysia memberitahu bahawa pihaknya akan sentiasa memaklumkan pihak luar tentang perkembangan hal-hal keselamatan.
Katanya, negara luar bebas untuk mengeluarkan penilaian sendiri tentang situasi keselamatan negara lain, walaupun ia mungkin tidak tepat atau menunjukkan situasi sebenar.
#Mas Ermieyati #pelancong #pengganas
;