Kerjasama semua kawal El Nino - Muhyiddin

Wan Syamsul Amly
Jun 30, 2014 19:03 MYT
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa Kebangsaan Bagi Menangani fenomena El Nino.
Kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menggerakkan pasukan petugas yang terdiri daripada pelbagai agensi bagi mengawal kesan kebarangkalian fenomena El Nino yang bakal berlaku.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pasukan ini akan memantau dan mengambil tindakan untuk mencegah kebakaran terbuka dan kebakaran tanah gambut.
"Pasukan ini juga akan menjalankan operasi pembenihan awan bagi meningkatkan paras air mentah di sungai, empangan dan mengurangkan tahap ketebalan jerebu,'' katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa Kebangsaan Bagi Menangani fenomena El Nino di sini.
Ujar Muhyiddin, antara agensi yang terbabit ialah Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Meteorologi Malaysia, jabatan Alam Sekitar, Jabatan Bomba dan Penyelamat malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Penerangan dan Radio Televisyen Malaysia.
Tambahnya, kerjasama dengan kerajaan negeri juga akan diadakan bagi memantau paras semua sungai dan empangan yang membekalkan sumber air mentah kepada loji-loji rawatan air.
"Untuk bekalan air, pelan kontigensi bekalan air akan diaktifkan sekiranya keadaan paras sungai dan empangan menyusut kepada paras kritikal.
"Ia merangkumi tindakan seperi mengagihkan bekalan air daripada sistem bekalan air di kawasan yang tidak terjejas kepada kawasan terjejas, menyediaskan keperluan logistik seperti lori tangki dan tangki statik dan melaksanakan catuan air kepada pengguna sekiranya perlu dan sebagai pilihan terakhir,'' katanya.
Dalam pada itu tambah Muhyiddin, jawatankuasa itu turut membincangkan persediaan untuk menjamin bekalan makanan melibatkan sektor tanaman, ternakan dan perikanan.
"Beberapa langkah jangka pendek, sederhana dan panjang akan dilaksanakan yang melibatkan usaha untuk memastikan pengurusan pengairan yang cekap, meningkatkan kecekapan pengurusan ladang, membangunkan jenis tanaman tahan kemarau dan cepat matang, membangunkan model tanaman setempat, mempelbagaikan pendapatan petani dan melaksanakan kempen kesedaran pembangunan model simulasi peramalan El Nino.
"Sebagai langkah alternatif, import bekalan makanan akan ditingkatkan sekiranya berlaku penurunan pengeluaran yang serius,'' jelasnya.
Jelasnya, bantuan melalui Tabung Bantuan Bencana Agromakanan akan diberi bagi memulihkan projek pertanian demi memastikan bekalan makanan mencukupi.
Kata Muhyiddin lagi, maklumat semasa berkenaan El Nino juga akan sentiasa dikemas kini dan dihebahkan kepada umum supaya semua pihak faham dan bersedia dalam menghadapi kesannya kelak.
"Kita turut meminta rakyat menjaga kebersihan, kesihatan dan berhemat menggunakan air, elektrik dan bekalan makanan.
"Rakyat turut dinasihat mengurangkan aktiviti yang boleh menyebabkan kebakaran hutan selain mematuhi arahan yang dikeluarkan berkaitan kesan fenomena El Nino,'' ujarnya.
Serangan El Nino bakal menjadikan 2014 atau 2015 sebagai tahun paling panas dalam rekod.
Walaupun El Nino belum lagi melanda, tanda-tanda awal sudah kelihatan dengan suhu panas, taburan hujan yang kurang dan keadaan udara berjerebu, memberikan petunjuk kepada kita bahawa musim kering sudah bermula.
Mengikut rekod, El Nino telah melanda negara sebanyak 12 kali sejak 1951-1952 dan kejadian yang paling teruk ialah pada 1997-1998 dengan suhu tertinggi iaitu 40.1 darjah Celsius direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping pada 9 April 1998.
#el-Nino #Muhyiddin Yassin
;