Kerjasama prolifik pastikan pertumbuhan, kemakmuran dalam kalangan negara Asia

Bernama
September 2, 2016 09:05 MYT
TENGKU ADNAN: Percaya pada kepentingan parti-parti politik di Asia untuk saling bekerjasama.
Kerjasama prolifik dalam kalangan negara Asia dapat menjana pertumbuhan dan kemakmuran yang diperlukan rantau itu, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Beliau berkata kerjasama itu akan menawarkan banyak pencapaian hebat dan mampan yang akan bermanfaat kepada negara-negara Asia dan untuk membina "Satu Asia", rantau amat memerlukan itu.
"Saya percaya akan kepentingan parti-parti politik di Asia untuk saling bekerjasama untuk mencapai kerjasama erat dan hebat serta memahami cabaran-cabaran dan peluang-peluang di Asia untuk mencapai pertumbuhan mampan," katanya.
Tengku Adnan berkata demikian dalam ucapan alu-aluan pada majlis makan malam bersempena Persidangan Antarabangsa Parti-Parti Politik Asia (ICAPP) kali ke-9 di sini, Khamis malam.
Persidangan bertema 'Satu Asia: Ke Arah Kerjasama Prolifik. Peranan Parti-Parti Politik Asia' yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula Rabu sehingga Sabtu.
Kira-kira 72 parti politik dari 36 negara Asia mengambil bahagian dalam persidangan itu yang diadakan dua tahun sekali.
#kerjasama ekonomi #kerjasama negara Asia #rantau Asia #Tengku Adnan Tengku Mansor
;