Kerjasama polis Kelantan-Thailand dapat kurangkan jenayah
Bernama
Julai 30, 2017 21:01 MYT
Julai 30, 2017 21:01 MYT
Polis Kelantan yakin perjanjian pertukaran maklumat rentas sempadan yang dimeterai Polis Kelantan dengan Polis Diraja Thailand, Wilayah Narathiwat akan membantu membanteras kegiatan jenayah terutama penyeludupan dadah ke negeri ini.
Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata perjanjian itu dimeterai pada mesyuarat Jawatankuasa Pengumpulan Maklumat dan Tindakan Agensi Sempadan di Hatyai selama dua hari bermula Rabu lepas.
"Pihak Thailand memaklumkan sebahagian besar kegiatan penyeludupan dadah itu dikatakan bermula dari kawasan utara negara itu sebelum diseludup ke negeri ini," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama peniaga di bawah Program Komuniti Kepolisan di sini, hari ini.
Setakat ini, katanya, Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) pihaknya sudah mencapai tahap 86 peratus tangkapan melibatkan pengedar dadah manakala 76 peratus tangkapan membabitkan penagih dadah.
Beliau berkata pihaknya akan terus meningkatkan tindakan bagi mengurangkan kes jenayah termasuk berkaitan dadah di negeri ini.
-- BERNAMA