Kerjasama Polis Kelantan-Thailand banteras kegiatan penyeludupan
Bernama
Mei 23, 2023 12:44 MYT
Mei 23, 2023 12:44 MYT
TUMPAT: Polis Kelantan akan terus bekerjasama dan berhubung rapat dengan pihak polis Thailand khususnya dalam usaha mempertingkatkan kawalan sempadan bagi membanteras kegiatan penyeludupan dadah, pendatang tanpa izin dan barangan kontraban.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata susulan itu kesemua Ketua Polis Daerah (KPD) di sempadan akan sentiasa berhubung setiap masa dengan rakan sejawat di Thailand bagi bertukar-tukar maklumat berkaitan.
Beliau berkata sebagai contoh KPD Tanah Merah akan sentiasa berhubung dengan polis di Daerah Waeng, KPD Pasir Mas dengan Daerah Sungai Golok, KPD Tumpat dengan Daerah Takbai dan KPD Jeli dengan polis Daerah Buketa.
"Hasil perbincangan pihak polis Thailand kita dapat pertingkatkan lagi penguatkuasaan dan terbukti dengan tangkapan yang telah dilakukan.
"Tindakan antara kedua-dua belah pihak yang dirancang dengan strategik telah menggagalkan usaha pihak sindiket untuk membawa masuk dadah ke negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Hari Raya Aidilfitri anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di sini, malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Komander Keselamatan Sempadan Wilayah Narathiwat, Pol Kol Somchai Srisorayut.
Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata pertukaran maklumat dan strategi ini penting agar segala tindakan dapat diselaraskan serta lebih berkesan.
Difahamkan, rampasan terbaru yang dilakukan melibatkan dadah seberat 925 kilogram bernilai RM46.2 juta yang dilakukan oleh polis Wilayah Narathiwat pada 18 Mei lepas.
Menurut laporan yang diterima dadah jenis syabu tersebut diperoleh dari Bangkok dan akan dihantar ke Takbai sebelum diseludup masuk ke Malaysia.
"Kerjasama ini akan diteruskan iaitu segala maklumat yang kita atau polis Thailand miliki akan dikongsi bersama.
"Mungkin mereka (polis Thailand) memiliki maklumat tetapi tidak dapat melakukan tangkapan dan disalurkan kepada polis Kelantan untuk tindakan seterusnya.
"Selain pihak polis, kami juga bersama agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi memastikan penguatkuasaan di sempadan sentiasa dipertingkatkan," katanya.
-- BERNAMA