Kerjasama penyelidikan MARDI, AREEO perlu dipergiat - Mohamad Sabu
Bernama
Februari 15, 2024 19:43 MYT
Februari 15, 2024 19:43 MYT
KUALA LUMPUR: Kerjasama dalam bidang penyelidikan antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Pertubuhan Penyelidikan, Pendidikan dan Pengembangan Pertanian (AREEO) yang berpangkalan di Tehran, Iran perlu dipergiat untuk manfaat kedua-dua negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata perkara itu antara yang dibincangkan bersama Menteri Pertanian Republik Islam Iran Mohammad Ali Nikbakht di Kementerian Pertanian Iran, Tehran hari ini.
"Kerjasama ini selari dengan teras strategik kelima PINTAR iaitu strategi kolaborasi.
"Di bawah teras strategik ini juga saya turut menekankan soal 'food diplomacy' dan untuk itu saya hadiahkan buah-buahan tempatan Malaysia kepada rakan sejawat saya hari ini," katanya di Facebook hari ini.
Pada masa sama, Mohamad berkata perbincangan itu disifatkan amat berjaya apabila hasrat dan kepentingan Malaysia untuk mengembangkan pengetahuan dalam bidang penyelidikan pertanian telah disambut baik rakan sejawatannya itu.
Beliau berkata antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu berkaitan perkongsian teknologi dan genetik padi, baka ayam Arian, kerjasama dalam penyelidikan buah-buahan tropika dan penyelidikan dalam perikanan.
-- BERNAMA