Kerjasama peniaga Cina, bumiputera perlu untuk 'Greater Kuching' - Abang Jo

Bernama
Februari 7, 2023 08:00 MYT
Tan Sri Abang Johari berkata idea pembangunan itu juga turut diakui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pembangunan bandar yang sangat terancang. - Foto BERNAMA
KUCHING: Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahu komuniti peniaga Cina bekerjasama dengan rakan bumiputera mereka untuk membangunkan kawasan Kuching, Samarahan dan Serian sejajar dengan strategi pembangunan "Greater Kuching" yang dirancang kerajaan negeri.
Beliau berkata melalui penubuhan Greater Kuching Development Agency, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM1.5 bilion untuk membangunkan ketiga-tiga kawasan itu dari segi sektor pertanian seperti pertanian pintar, pertanian moden dan sektor pelancongan.
"Saya harap komuniti perniagaan Cina akan bekerjasama dengan bumiputera untuk membangunkan Greater Kuching yangt terdiri daripada Kuching, Samarahan dan Serian.
Ini adalah kawasan yang akan dinaik taraf dari segi pergerakan dengan Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) akan beroperasi di kawasan ini, seperti yang anda ketahui kami sedang melaksanakan sistem pengangkutan moden menggunakan hidrogen kerana kami mahu menjadikannya Bandar Pintar, bandar yang kurang pencemaran dan bandar yang boleh dibanggakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Tahun Baru Cina anjuran Persekutuan Cina Kuching, Samarahan dan Serian di sini, malam tadi yang turut dihadiri oleh dua Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.
Katanya idea pembangunan itu juga turut diakui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pembangunan bandar yang sangat terancang.
-- BERNAMA
#Abang Johari Tun Openg #Greater Kuching #peniaga #art
;