Kerjasama penduduk rumah panjang main peranan penting hentikan penularan COVID-19
Khairuddin Ayub Khan
Februari 8, 2021 20:03 MYT
Februari 8, 2021 20:03 MYT
SIBU: Keberkesanan sekatan pergerakan yang dilaksanakan di kawasan rumah-rumah panjang di Sarawak ketika ini bergantung kepada kerjasama dan komitmen yang diberikan oleh penduduk.
Ia penting agar wabak COVID-19 tidak menular dengan cepat di kawasan yang mempunyai kadar kepadatan yang tinggi.
Menurut Tuai Rumah sebuah rumah panjang di Tanjung Penasu Sibu, Jalak Kusau, sebagai ketua masyarakat, dia mengambil serius aspek keselamatan penduduknya agar rantaian virus berkenaan dapat diputuskan dan kehidupan penduduk kembali seperti sediakala.
“Kami di rumah panjang ini memang mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan, sesiapapun tidak dibenarkan sama sekali masuk ke rumah panjang kami,” ujarnya.
Dalam pada itu, kata Jalak, selain daripada memantau pergerakan keluar masuk penduduk, rumah panjang yang ditadbirnya turut mengamalkan prosedur pendaftaran dan kebersihan yang tinggi ketika ini.
Hanya penduduk yang bekerja dibenarkan keluar masuk rumah dan mereka haruslah mengamalkan tahap keselamatan yang tinggi.
“Andai kata seseorang itu bekerja dan dia pulang dari kerja, mereka mesti mengimbas kod QR My Sejahtera. Mereka juga perlu mencuci tangan sebelum dibenarkan masuk.
"Selain dari yang bekerja, kita memang tidak akan benarkan mereka masuk ke rumah panjang," tegasnya.
Dia turut memberitahu telah mengadakan mesyuarat bersama penduduk dan mereka bersetuju serta faham dengan arahan yang dikuatkuasakan ketika ini.
“Kami takut berlaku perkara yang tidak diingini berlaku dalam kalangan penduduk di rumah panjang kami,” ujar Jalak.
Dalam pada itu, dia berharap segala maklumat tentang keadaan semasa dihebahkan dalam bahasa Iban agar difahami oleh semua penduduk rumah panjang.
Ini termasuk siaran di radio dan kaca televisyen.
“Jadi ini adalah cadangan saya kepada kerajaan agar menghebahkan maklumat semasa ini di Facebook, TV, WhatsApp dan radio menggunakan bahasa Iban supaya semua penduduk di rumah panjang tahu,” saran Jalak.
Mengenai isu bekalan makanan pula, katanya, ia masih mencukupi untuk tempoh dua minggu dan berharap penyaluran ini berterusan sepanjang tempoh sekatan.
Untuk makluman, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memutuskan rumah panjang Jalak Kusau di Tanjung Penasu Sibu dikenakan perintah sekatan pergerakan sejak 21 Januari lalu susulan terdapat kes positif COVID-19 melibatkan rumah panjang berdekatan.
#sekatan pergerakan
#Rumah Panjang Jalak Kusau
#Sibu
#pandemik
#COVID-19
#Tanjung Penasu Sibu
#penularan kes COVID-19