Kerjasama pemimpin, rakyat lancarkan tugas di Malaysia - Duta Besar Indonesia

Bernama
Januari 27, 2017 20:51 MYT
Duta Besar Indonesia ke Malaysia Herman Prayitno berkata, berada di Malaysia dirasakan seperti berada di tanah air sendiri. - Gambar fail
"Seperti berada di tanah air sendiri," itu kata-kata diluahkan Duta Besar Indonesia ke Malaysia Herman Prayitno apabila ditanya pandangan beliau sepanjang bertugas di negara ini.
Bagi Herman, empat tahun menjadi 'orang tengah' antara Malaysia dan Indonesia dirasakannya berlalu begitu pantas tatkala pelbagai isu dibangkitkan kedua-dua negara dalam tempoh itu.
Biarpun tidak mempunyai latar belakang sebagai seorang diplomat, Herman berkata hasil bantuan dan kerjasama pemimpin dan rakyat di Malaysia telah melancarkan tugas beliau sepanjang berkhidmat di negara ini.
"Selama bertugas di sini, saya dibantu banyak teman daripada pelbagai kementerian seperti Kementerian Luar, Kementerian Dalam Negeri dan Imigresen yang membuatkan kerja saya lancar dan tak ada yang perlu dikhuatirkan.
"Ini kerana, kedua-dua negara telah membangunkan kepercayaan dalam menyelesaikan pelbagai masalah untuk mendapatkan situasi menang-menang. Saya menghormati hukum (undang-undang) di Malaysia tetapi masih boleh melindungi hak rakyat Indonesia," katanya ketika ditemui Bernama di pejabat Kedutaan Besar Indonesia di sini, semalam.
Herman yang akan menamatkan tugas pada 31 Jan ini, berkata menerusi kepercayaan berterusan itulah menjadikan beberapa isu dibangkitkan di negara ini, termasuk kemasukan pekerja asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia dapat dikawal dengan baik.
Katanya rundingan baik pelbagai pihak juga membolehkan PATI bermajikan di negara ini, berpeluang memperoleh Kad Pekerja Asing Sementara tidak lama lagi yang dianggapnya mampu menarik minat lebih ramai warga Indonesia untuk bekerja secara sah di Malaysia.
Selain menunjukkan kesepakatan kedua-dua negara, beliau turut mengakui keprihatinan kerajaan Malaysia menerusi rancangan pengampunan atas dasar kemanusiaan yang membenarkan rakyat Indonesia pulang ke kampung masing-masing pada Hari Raya Aidilfitri.
Pihak Kedutaan Besar Indonesia di sini juga, katanya sentiasa menghulurkan kerjasama kepada kerajaan Malaysia bagi memudahkan pendaftaran PATI negara itu menerusi program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin, tahun lepas.
Katanya atas urusan kerja itu juga menjadikan beliau akrab dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika di luar waktu formal, selain sering meluangkan masa bersama beberapa menteri Kabinet yang rapat dengannya.
Antaranya Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Ditanya apakah isu yang perlu diberi perhatian oleh Duta Besar Indonesia ke Malaysia yang baharu, Rusdi Kirana selepas ini, Herman berharap kedua-dua negara dapat menyelesaikan agenda perbatasan darat dan laut serta pekerja yang tidak berdaftar di negara ini dengan segera.
Selain itu, Herman yang bertugas di sini sejak November 2012, berkata isu jerebu yang berpunca dari Indonesia juga bakal diselesaikan tahun ini apabila Presiden Joko Widodo bertegas mahu semua pihak bekerjasama mengawal kebakaran hutan di negara itu supaya tidak mendatangkan mudarat kepada negara jiran.
Mengakui sedih untuk meninggalkan negara ini, Herman berkata beliau pasti merindukan rutin di Malaysia seperti memenuhi undangan sahabat ke majlis keraian, perkahwinan dan bermain golf.
Herman berkata selepas bersara dan pulang ke Jakarta, beliau pasti akan terkenang keenakan nasi lemak, char kuey teow, nasi kandar dan teh tarik yang menjadi makanan wajib baginya di negara ini.
"Saya sangat gembira di Malaysia kerana suasananya tertib, aman dan bagus. Orangnya semua peramah dan terbuka sehingga saya boleh berbicara dan mendapatkan pandangan tentang apa sahaja pasti dibantu.
"Saya juga telah berkunjung ke semua negeri di Malaysia, pulaunya indah dan makanannya enak. Semua ini pasti membuatkan saya rindu untuk kembali ke sini pada masa akan datang," katanya.
-- BERNAMA
#Herman Prayitno #Indonesia #Kementerian Dalam Negeri #pati
;