Kerjasama pelbagai pihak mampu stabilkan harga hasil laut - Irmohizam
Hilal Azmi
Oktober 8, 2017 15:24 MYT
Oktober 8, 2017 15:24 MYT
Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menggesa Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) bekerjasama dengan pihak berkaitan industri perikanan dalam membantu menstabilkan harga hasil laut seperti ikan.
Pengerusinya, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim berkata, usaha ini selaras dengan usaha kerajaan untuk mengatasi peranan orang tengah yang dikatakan antara penyebab harga ikan yang ada kalanya tinggi.
Katanya, setakat ini kerjasama dengan pihak koperasi dilihat amat berkesan dan mampu diperluas kepada pihak lain.
"Ini fokus yang kita berikan bagaimana koperasi juga memainkan peranan penting dalam membantu rakyat menangani kos sara hidup khususnya di Lembah Klang.
"Kita juga hendak ajak orang ramai tampil bekerjasama dengan NEKMAT untuk membincangkan model terbaik meliputi model perniagaan, pemasaran, lantas memberikan manfaat kepada semua pihak," katanya dalam sidang media sempena Program Jom Makan Ikan di Pasar Mini MyBeli, Saujana Utama pada Ahad.
Jelasnya lagi, gabungan semua pihak bakal melonjakkan industri perikanan negara.
Pada majlis berkenaan, sejumlah tiga tan bekalan hasil laut dijual pada harga promosi dengan potongan harga sehingga 50 peratus yang mendapat sambutan hangat pembeli dari sekitar Bandar Saujana Utama.
#ikan
#Irmohizam Ismail
#koperasi
#Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia
#LKIM
#NEKMAT
#Persatuan Nelayan Kebangsaan