Kerjasama MTDC-CADS lahirkan tenaga pakar penuhi keperluan IR4.0
Madiha Abdullah
November 14, 2019 18:00 MYT
November 14, 2019 18:00 MYT
Dengan hasrat membantu dan menggalakkan pembelajaran seumur hidup dalam kalangan graduan dan technoprenuers, khususnya dalam era revolusi perindustrian 4.0, Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) hari ini menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Center of Applied Data Science (CADS).
Kerjasama ini akan menyaksikan kedua-dua organisasi bekerjasama dalam bidang pembinaan kapasiti, latihan, serta mempromosikan pendidikan, latihan profesional dan pembangunan modul dalam Sains Data, Analisis dan Kemahiran Kecerdasan Buatan.
Pelatih yang terpilih akan mempunyai kelebihan dalam aspek kemahiran apabila menyertai pelbagai bidang pekerjaan kelak.
"Dalam usaha kita untuk membantu IKS dengan mewujudkan Centre of 9 Pillars, kita memerlukan warga kerja yang mampu menjalankan kerja-kerja data sains.
"Kerana itu kita mahu menghasilkan graduan yang mampu memenuhi hasrat itu, apatah lagi ia merupakan salah satu bidang dalam revolusi industri 4.0.
"Kami berharap kerjasama ini akan melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang data di samping membantu industri IKS untuk menjadi lebih efisien dan produktif, seterusnya bersaing dalam pasaran antarabangsa," kata Datuk Norhalim Yunus, Ketua Pegawai Eksekutif MTDC
Justeru, pemain industri kecil dan sederhana diminta untuk lebih terbuka dan bersedia dari aspek infrastruktur, pengurusan data dan analisis yang dilihat bakal menjadi ekosistem penting dalam beberapa tahun akan datang.
Seramai 18 pelatih kumpulan pertama dipilih dari pelbagai institusi pengajian tinggi untuk mengikuti latihan, merangkumi 14 modul selama tiga bulan, yang akan berakhir Disember ini.
MTDC berharap peranan yang dimainkan mereka akan terus menyumbang kepada peningkatan jumlah kepakaran tempatan sebagai persediaan menghadapi cabaran perkembangan teknologi ke arah revolusi perindustrian 4.0.
#CADS
#Center of Applied Data Science
#IKS
#Malaysian Technology Development Corporation
#MoU
#MTDC
#Norhalim Yunus