Kerjasama media untuk bawa suara rantau Nusantara ke pentas dunia

Astro Awani
Jun 30, 2022 17:34 MYT
Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) mengadakan kunjungan ke Astro pada Khamis. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerjasama media antara Malaysia dan Indonesia dapat membantu bukan hanya mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara sebaliknya membawa suara Nusantara ke persada dunia.
Menurut Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail untuk mencapai hasrat tersebut kerjasama antara media Malaysia dan Indonesia perlu lebih dipereratkan lagi.
Dalam ucapannya, Ashwad menekankan kepentingan membentuk satu kerjasama media antara kedua-dua negara bagi membawa suara Nusantara ke pentas dunia.
"Kita berada di sini untuk mengenali antara satu sama lain dengan lebih erat supaya kita dapat membentuk satu kerjasama yang mantap.
"Kerjasama ini bukan hanya untuk membawa suara negara tetapi suara ke ASEAN, suara nusantara ke pentas dunia dengan lebih hebat," katanya.
Senada dengan Ashwad adalah wakil dari Tempo, Bagja Hidayat yang berpendapat kerjasama media itu membantu memberi maklumat tepat tentang sesuatu isu melibatkan kedua-dua negara.
"Saya rasa adalah baik sekiranya media Indonesia lebih banyak mengadakan kerjasama dengan media luar seperti di Malaysia.
"Kerjasama dengan media Malaysia penting kerana beberapa isu amat penting kepada rakyat Indonesia perlu mendapat liputan yang baik," katanya.
Sebagai langkah permulaan ke arah kerjasama media kedua negara yang lebih erat, Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) mengadakan kunjungan ke Astro pada Khamis.
Kunjungan ini merupakan sebahagian daripada pengisian lawatan dua hari bagi 20 wakil Indonesia yang bernaung di bawah ISWAMI ke Kuala Lumpur.
Ketibaan 20 wakil media Indonesia ini disambut oleh Ashwad yang juga Naib Presiden ISWAMI.
Antara wakil Indonesia lain yang hadir Naib Ketua Pengarang Sindo News, Puguh Hariyanto; Naib Ketua Pengarang IDN Times, Umi Kalsum; dan Center for Independent Journalism, Daranee.
Wakil dari Malaysia pula terdiri dari Presiden Kelab Media Kuala Lumpur dan Selangor (KLS), Wan Syamsul Amly Wan Seadey; Pengarang The Malaysian Insight Noor Azam Shairi dan Pengarang Malaysia Now, Amin Iskandar.
#Media #kerjasama media #Malaysia #Indonesia #ASEAN #nusantara #Pentas Dunia
;