Kerjasama media Malaysia-Indonesia cantas pemberitaan asing - Penganalisis
Hasimi Muhamad
Julai 1, 2022 15:17 MYT
Julai 1, 2022 15:17 MYT
KUALA LUMPUR: Kerjasama institusi media Malaysia dan Indonesia perlu diperkukuhkan lagi dalam usaha untuk mencantas pengaruh pemberitaan media asing termasuk dari segi kebudayaan, isu-isu global serta berita tidak benar.
Penganalisis Politik dan Media Sosial Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Profesor Madya Sara Chinnasamy berpandangan usaha itu bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat di kedua-dua negara, tetapi turut mampu mengangkat kredibiliti media perdana.
"Jadi kita tidak perlu terpengaruh dengan pemberitaan asing dan saya rasa isu pemberitaan asing boleh dicantas menerusi kerjasama media Malaysia dan Indonesia, di mana interprestasi yang bakal dibuat oleh rakyat di kedua-dua negara ini akan lebih jelas terhadap maklumat yang disebarkan rakyat di Indonesia dan Malaysia.
"Saya rasa cantasan pemberitaan asing ini mungkin akan menjadi agenda utama yang saya lihat pada masa ini boleh membuat penambahbaikan dari segi pemberitaan luar negara," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Sara berkata kerjasama yang terjalin turut penting dalam menegakkan keadilan dan pendapat berkaitan isu-isu antarabangsa termasuk isu melibatkan pembantu rumah warga asing.
Katanya lagi, institusi kewartawanan di negara ini pada masa yang sama boleh mempelajari dasar pemberitaan di Indonesia, dan bagaimana republik itu menjaga landskap media di negara tersebut.
Bagaimanapun, beliau turut mengakui bahawa industri media berdepan cabaran digitalisasi khususnya penyebaran berita palsu yang perlu diberi perhatian khusus.
"Jadi ini akan menyemai banyak algoritma baharu di mana bagaimana kita dapat mencantas penularan berita palsu dan pada masa yang sama kita dapat menegakkan kredibiliti media perdana Malaysia dan Indonesia.
"Saya juga melihat dari sudut praktikal media dan kelangsungan media perdana ... kita boleh berkongsi pendapat," tambahnya.