Kerjasama masyarakat, tentera, asas jamin keselamatan dan pertahanan negara

Bernama
Mac 1, 2025 20:30 MYT
Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan memeriksa perbarisan pada Hari Tentera Darat ke-92 di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerjasama antara masyarakat dan tentera amat penting dalam memastikan keselamatan dan keamanan negara terjamin daripada sebarang ancaman, kata Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Dalam perutusan sempena sambutan Hari Tentera Darat ke-92 di sini hari ini, beliau berkata tanpa kepercayaan rakyat, pasukan tentera tidak mampu berfungsi dengan sempurna manakala tanpa tentera yang ampuh dan berwibawa pula keselamatan rakyat dan negara pasti terancam.
"Seperti perumpamaan 'seliang bagai tebu, serumpun bagai serai', jika tentera dan rakyat bersatu, tiada musuh yang mampu menggugat keselamatan negara.
"Tentera Darat Malaysia (TDM) memerlukan kekuatan dan keupayaan mempertahankan tanah air tercinta ini, bukan hanya daripada sekadar melalui bilangan, persenjataan dan kepintaran, tetapi paling utama kekuatan rakyat yang menyokongnya demi membina sebuah negara berdaulat, selamat dan makmur," katanya.
Sambutan Hari Tentera Darat ke-92 kali ini bertemakan 'Sinergi Tentera Darat dan Rakyat: Pemangkin Aspirasi Angkatan Masa Hadapan', diadakan di Dataran PTD Kem Perdana Sungai Besi di sini.
Antara acara yang diadakan, termasuk perbarisan melibatkan dua kontinjen terdiri lapan detasmen, merangkumi 38 pegawai dan 878 anggota lain-lain pangkat diketuai Pegawai Memerintah Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja Left Kol Azlan Shah Baharom.
Muhammad Hafizuddeain berkata TDM tahun ini akan meneruskan aktiviti dan pendekatan memperkukuh hubungan dengan rakyat demi mendokong aspirasi Angkatan Masa Hadapan (AMH).
"AMH ialah satu usaha reformasi angkatan yang berfokus kepada peningkatan keupayaan pertahanan merentasi domain darat, laut, udara dan siber.
"Ia bertujuan menangani pelbagai ancaman secara berkesan melalui strategi cegah rintang berpadu. Sebagai sebahagian cabang Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Darat perlu bersedia menjadi pendukung domain daratan dan menggarap 'tailored to mission fit for purpose' dalam AMH," katanya.
Beliau berkata jika konsep "Keselamatan dan Pertahanan Tanggungjawab Semua" dihayati sepenuhnya maka minda rakyat tetap menyatakan Tentera Darat akan sentiasa relevan dalam menghadapi cabaran moden.
-- BERNAMA
#kerjasama #Masyarakat #tentera #keselamatan
;